Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika tangkap ikan

f02ebcceba10dca0e32a39571d9cba365f0c269fb9455

BESUT, 12 Nov — Seorang remaja lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menangkap ikan di sebuah parit tali air di belakang rumahnya di Kampung Batang Gergaji, Apal di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata mayat mangsa yang berusia 13 tahun ditemui datuknya kira-kira 4.30 petang.

“Sebelum itu mangsa sempat memanggil datuknya yang berada di belakang rumah, lalu datuknya bergegas ke tempat kejadian namun mendapati mangsa telah rebah di tepi parit.



“Lelaki berusia 62 tahun itu kemudian mengangkat cucunya ke tebing parit sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Jabi dan mangsa disahkan telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang berseorangan ketika kejadian dipercayai menggunakan generator dan wayar arus elektrik untuk menangkap ikan sebelum terkena renjatan.

“Siasatan pada tubuh pelajar tingkatan satu itu tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan manakala temu bual dengan datuk mangsa menyatakan mangsa pernah melakukan aktiviti sedemikian sebelum ini,” katanya sambil menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Abdul Rozak berkata mangsa disahkan meninggal dunia akibat renjatan elektrik dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button