Lans Koperal Mohammad Fadhirul makin stabil

0ce7593155dabc02959f8a253e1ec09e5facc17e89d91

x

JOHOR BAHRU, 12 Nov — Keadaan Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa yang cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan ketika mengejar penjenayah pada 1 Nov lepas, semakin stabil dan beransur pulih.

Isterinya, Noriha Mohd Razali berkata Mohammad Fadhirul sudah boleh bercakap, makan dan minum walaupun ingatannya tidak berapa baik berikutan kesan pendarahan di bahagian kepala.

Menurut Noriha, suaminya juga baru sahaja menjalani pembedahan pertama di bahagian mukanya di Hospital Sultan Ismail di sini, semalam.

“Keadaan suami semakin pulih, boleh bercakap, makan dan minum. Kadang-kadang apabila tanya nama, suami tahu nama sendiri tetapi apabila ditanya lagi, dia akan lupa. Begitu juga saya dan anak-anak kadangkala dia lupa juga.

“Doktor beritahu pendarahan itu akan pulih sendiri dan ambil masa tiga hingga empat bulan untuk lihat perkembangan sama ada perlu pembedahan atau tidak…kalau respons suami baik, tidak perlu pembedahan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan wang tunai dan cenderahati daripada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di sini hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi PERKEP Kontijen JOHOR SAC Datin Zalena Mohd Ariffin, di Rumah PERKEP Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Turut menerima sumbangan ialah keluarga mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat, yang diserahkan kepada kakak mendiang, Elizcavelynicy Unchi Unggat.

Sementara itu, Noriha yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berkata walaupun sukar untuk melupakan peristiwa hitam yang menimpa Mohammad Fadhirul, namun jauh di sudut hatinya reda dengan ketentuan Tuhan.

“Susah saya mahu cakap…tetapi berpuas hati sebab pesalah sudah ditangkap dan telah diberi hukuman…rasa lega,” katanya yang sudah 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama Mohammad Fadhirul.

Dalam kejadian 1 Nov lepas, kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga lelaki telah melarikan diri daripada ditahan sehingga memaksa dua anggota Unit Kenderaan Peronda (MPV) dari Balai Polis Bandar Dato’ Onn termasuk mangsa mengejar mereka, sebelum kenderaan polis itu terbalik dan berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Aruz, di Jalan Kangkar Tebrau, di sini.

Kejadian itu mengakibatkan Nicholester, 20, yang berasal dari Sibu, Sarawak, maut selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala, manakala Mohammad Fadhirul, 32, cedera parah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *