Skuad hoki Sukma Perak tiada masalah temasya di Johor ditangguh

4ab4bb944a0f68de8c2a9bb65d7cef045f05e6ea51086

IPOH, 11 Nov — Skuad hoki Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tidak berdepan sebarang masalah dengan penangguhan temasya SUKMA Johor 2020 kerana majoriti pemain pasukan itu berumur bawah 20 tahun ketika ini.

Jurulatihnya, Abdul Sukur Adam berkata penangguhan itu memberi lebih peluang kepada barisan kejurulatihan untuk memantapkan lagi persiapan pasukan terutama dalam memilih 18 pemain terbaik untuk dibawa ke SUKMA Johor pada 2022 nanti.

“Sekarang ini, dalam senarai ada 21 pemain tetapi yang berumur 21 tahun ada lima atau enam orang sahaja selebihnya berumur bawah 20 tahun dan berpotensi untuk kita ketengahkan dalam SUKMA akan datang.



“Sekiranya penganjur tetap dengan syarat umur (pemain) bawah 21 tahun, kita tidak ada masalah. Kalau diberi kelonggaran untuk guna khidmat pemain yang sudah berumur lebih 21 tahun pun, kita terima,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan penganjuran temasya SUKMA Johor 2020 yang dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April tahun depan sekali lagi terpaksa ditangguhkan ke tahun 2022 susulan peningkatan kes COVID-19.

Mengulas mengenai program latihan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Abdul Sukur berkata pemain kini giat menjalani latihan di gimnasium selama dua jam tiga kali seminggu pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat di bawah pemantauan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Menurut beliau skuad hoki Perak menyasarkan pingat emas pada SUKMA Johor selepas sekadar meraih tempat keempat pada temasya sama di sini, dua tahun lepas.



Sementara itu, jurulatih pasukan ragbi wanita SUKMA Perak Suhaimi Sudin berkata beliau terpaksa melakukan rombakan secara besar-besaran sekiranya syarat had umur bawah 21 tahun dikekalkan.

“Lapan daripada 12 pemain yang ada berumur 21 tahun ketika ini. Jika syarat sama dikekalkan bermakna saya kena bina semula pasukan daripada awal dan pasti ambil masa untuk buat persiapan. Ini juga sedikit sebanyak akan memberi masalah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap syarat umur dikaji semula dan diberikan kelonggaran kerana masalah sama turut menimpa kebanyakan negeri yang bertanding dalam acara berkenaan.

“Mungkin juga banyak negeri yang akan tarik diri kalau syarat sama dikekalkan. Sedikit sebanyak akan hilang juga seri dalam acara ini. Jadi kita mohon perkara ini dipertimbangkan,” katanya.



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button