Venue Sukma 2020 tidak akan jadi projek ‘gajah putih’ – Exco Johor

Hebahkan !!!

4340e28391eee22c41923dc2b8e1a9575ea3f523a6f93Datuk Onn Hafiz Ghazi (Gambar fail)

ISKANDAR PUTERI, 11 Nov — Kerajaan negeri Johor memberi jaminan bahawa kesemua 39 venue termasuk 11 gelanggang baharu untuk penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 tidak akan menjadi projek ‘gajah putih’, susulan pembatalan temasya sukan itu berikutan penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kesemua kemudahan berkenaan bakal dibuka dan akan dapat dimanfaatkan oleh atlet dan orang ramai di negeri ini.

Antara kemudahan baharu itu ialah Arena Emas, Kompleks Sukan Pagoh, Arena Larkin, Kompleks Sukan Kanu Pagoh, Pusat Pelayaran Kramsau Desaru dan Velodrom Iskandar Puteri.

“Saya hendak beri jaminan, kesemua 39 venue, 11 daripadanya adalah baharu…majoritinya dibangunkan oleh KPRJ (Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd) dan kita akan pastikan bahawa kesemua venue ini tidak jadi projek gajah putih.

“Di peringkat sekretariat SUKMA, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan KPRJ telah berbincang untuk mengadakan aktiviti di kesemua venue tersebut supaya rakyat Johor dan atlet dapat menggunakan venue tersebut,” katanya dalam sidang media khas, yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor Mohd Gadaffie Abd Aziz di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini, hari ini

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga bercadang untuk memberi imbuhan kepada 948 atlet, jurulatih dan pegawai sukan di negeri itu, sebagai tanda penghargaan dan suntikan semangat kepada mereka selepas temasya berkenaan ditunda beberapa kali.

Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan temsaya SUKMA dan Para SUKMA 2020 di Johor terpaksa dibatalkan akibat ketidaktentuan penularan wabak COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Temasya SUKMA Johor sepatutnya diadakan pada 6-14 Mac tahun ini tetapi ditangguhkan kepada 11-19 Julai, sebelum dijadualkan semula sekali lagi kepada 2-10 April tahun depan susulan pandemik COVID-19.

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: