Jirat dipercayai dari Dinasti Qing ditemukan di rumah bekas MB
Oleh Siti Dzulaikha Mazlan
PEKAN, 18 Nov — Penemuan sembilan batu nisan dengan tulisan Cina kuno di perkarangan rumah bekas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Muhamad Jusoh di Kampung Pekan Lama di sini, dipercayai membuktikan negeri ini pernah menjadi laluan perdagangan utama pada masa dahulu.
Kurator Unit Arkeologi Perbadanan Muzium Negeri Pahang Noridayu Bakry berkata berdasarkan data awal, batu nisan itu dipercayai berkaitan Dinasti Qing, sekitar abad ke-17 hingga abad ke-20 dan penemuan jirat tersebut dipercayai yang pertama di negeri ini.
“Kami percaya ia batu nisan daripada Dinasti Qing kerana bahan yang digunakan ialah batu granit dan bukan konkrit selain penggunaan teknologi lama menyebabkan saiz batu nisan itu berbeza-beza iaitu antara 122 sentimeter (cm) hingga 75.5cm panjang manakala lebar antara 47.4cm hingga 33.5cm.
“Penemuan ini boleh mengukuhkan lagi pendapat Pahang pernah menjadi lokasi tumpuan pedagang dari China, berdasarkan penemuan seramik di Pulau Tioman, Rompin dan juga penemuan artifak lama di Kuala Pahang yang dipercayai dari Dinasti Song, Tang dan Min sebelum ini,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumah kediaman bekas menteri besar itu di sini, hari ini.
Untuk rekod, Muhammad ialah Menteri Besar Pahang kesembilan, yang menjawat jawatan itu selama sepenggal mulai 1 Sept 1974.
Noridayu berkata kajian lanjut berkaitan penemuan itu akan dilakukan Muzium Pahang dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan bantuan pakar Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengesahkan kesahihan artifak sejarah tersebut.
Buat masa ini, kawasan penemuan batu nisan kuno itu diletakkan di bawah pengawasan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan sehingga kajian selesai.
Sementara itu, penghuni rumah Norhazlinda Abdul Rahman, 47, berkata kewujudan ‘jirat kecil’ itu hanya disedari pada minggu lalu, selepas suaminya Razali Embong, 55, meminta bantuan rakannya untuk memotong rumput pada minggu lalu dan menemukan ketulan batu.
“Rakan yang memotong rumput itu berhenti untuk memeriksa batu tersebut dan terkejut apabila melihat ada tulisan Cina di atasnya. Kami terus memeriksa kawasan itu dengan lebih teliti dan terkejut kerana mendapati jumlahnya agak banyak.
“Anak perempuan saya pernah belajar di Beijing, China namun dia juga tidak tahu membaca tulisan di atas batu nisan itu dan merasakan ia adalah tulisan lama menyebabkan kami bertanya dengan rakan-rakan lain menerusi WhatsApp,” katanya.
Norhazlinda yang juga seorang guru berkata beliau tidak menyangka gambar tersebut tular sehingga mendapat perhatian Perbadanan Muzium Negeri Pahang yang menghantar wakil ke rumah mereka untuk melihat sendiri batu nisan tersebut.
Beliau berkata rumah itu merupakan pusaka keluarga dan pernah mendengar kisah kewujudan jirat cina di rumah itu sejak kecil, namun tidak mengambil serius selain mengetahui terdapat tokong berdekatan rumahnya, namun telah dirobohkan.