APMM usir bot nelayan Thailand ceroboh perairan negara
Mohd Zawawi Abdullah
LANGKAWI, 19 Nov — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir sebuah bot nelayan Thailand, yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langgun, dekat sini, pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, tindakan pengusiran dilakukan bot peronda Petir yang sedang melaksanakan Op Benteng pada jam 11 pagi.
Beliau berkata terdahulu pihaknya menerima aduan awam mengenai tiga buah bot nelayan asing menceroboh perairan negara, yang disalurkan kepada talian MERS 999 oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis.
“Sebaik menerima laporan, bot peronda Petir telah diatur gerak ke lokasi kejadian. Menyedari kehadiran bot peronda APMM, dua daripada tiga bot nelayan tradisional Thailand itu segera meninggalkan perairan negara, namun sebuah bot lagi berjaya dipintas.
“Bot yang ditahan itu dikendalikan tiga nelayan warga Thailand itu ditemukan bersama beberapa peralatan menangkap ikan jenis pukat karang serta hasil laut udang kara dengan anggaran berat dua kilogram. Bot bersama kru itu kemudian telah diusir keluar dari perairan negara, sejajar dengan situasi semasa bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zawawi berkata APMM merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim yang peka dan membantu menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasa bagi mengekang pencerobohan nelayan asing ke negara ini.