Defisit kepercayaan, berita palsu cabaran pelaksanaan inisiatif komunikasi berkesan – Saifuddin
KUALA LUMPUR, 21 Nov — Defisit kepercayaan terhadap agensi menangani COVID-19 merupakan antara cabaran dihadapi dalam pelaksanaan inisiatif komunikasi berkesan sehingga menyebabkan segelintir masyarakat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan.
Berdasarkan dapatan analisis, timbul defisit kepercayaan dalam kalangan sebahagian rakyat seperti mempersoalkan tindakan Majlis Keselamatan Negara dan data Kementerian Kesihatan berhubung COVID-19 selain bersifat sarkastik, sinis, amarah serta membuat luahan bersifat politik.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata analisis itu dibuat pelbagai pihak termasuk risikan media, sentimen rakyat, bilik gerakan COVID-19 Kementerian Komunikasi dan Multimedia, tinjauan oleh akademia serta pendapat profesional termasuk pakar kaunseling dan psikologi.
Beliau berkata analisis itu juga mendapati terdapat permintaan dan pembekalan ‘maklumat palsu’ yang sengaja disebarkan sebagai berita palsu, penipuan serta penafian sehingga terdapat segelinir rakyat yang seakan-akan hidup dalam dunia selari/fiksyen.
“Keletihan/tekanan dan kealpaan bermusim. Keadaan ini mula berlaku dalam kalangan sesetengah barisan hadapan dan sebahagian rakyat sehingga wujud peratusan tertentu yang tidak atau kurang mematuhi SOP dan arahan-arahan, belum membudayakan norma baharu atau belum berlaku perubahan tingkah laku positif,” katanya kepada Bernama hari ini.
Saifuddin berkata analisis turut mendapati sebahagian rakyat belum memahami tentang hakikat perlu hidup bersama pandemik COVID-19 untuk suatu jangka masa tertentu.
Beliau berkata analisis itu bertujuan memperoleh data serta input saintifik terkini dalam usaha memiliki kefahaman sebenar dan tepat mengenai status serta prestasi pada masa ini dan jangka masa pendek/sederhana berhubung penularan pandemik, inisiatif kesihatan dan bukan kesihatan (termasuk kewangan dan ekonomi) serta komunikasi.
Ia bagi mendapatkan penyelesaian yang lebih baik supaya pelaksanaan inisiatif komunikasi COVID-19 dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata keberkesan inisiatif komunikasi yang telah dilaksanakan setakat ini agak baik namun perlu dilipatgandakan dengan perancangan dan pelaksanaan lebih sistematik.
“Dalam konteks virus yang tidak kelihatan dan telah merebak di tengah-tengah komuniti, kewujudan peratusan yang kecil pun yang tidak mematuhi SOP dan arahan hendaklah dilihat sebagai satu masalah yang besar,” katanya.
Semalam, Polis Diraja Malaysia menahan 455 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini menyebut antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, aktiviti pusat hiburan dan tidak memakai pelitup muka.
Keberkesanan inisiatif komunikasi berhubung COVID-19 agak baik – Saifuddin