Gelembung perjalanan udara SG-HK ditunda dua minggu
Oleh Massita Ahmad
SINGAPURA, 21 Nov — Gelembung Perjalanan Udara (ATB) antara Singapura dan Hong Kong yang dijadual dilancarkan esok, kini ditunda selama dua minggu, menurut Menteri Pengangkutan republik itu Ong Ye Kung.
“Memandangkan keadaan di Hong Kong yang menunjukkan peningkatan (kes), Setiausaha (Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan) Edward Yau dan saya telah mengadakan perbincangan lanjut tengah hari tadi dan membuat keputusan adalah lebih baik untuk menangguhkan pelancaran ATB selama dua minggu,” kata Ong dalam laman rasmi Facebooknya hari ini.
“Kami akan mengkaji semula dalam tempoh dua minggu untuk tarikh pelancaran baharu dan akan memaklumkan kemudian,” katanya.
Setakat Jumaat, Hong Kong melaporkan 26 kes jangkitan baharu iaitu 21 adalah kes tempatan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 5,517 dengan 108 kematian.
“Saya dapat memahami kekecewaan pengembara yang telah merancang perjalanan mereka. Tetapi kami fikir adalah lebih baik ditangguhkan dari sudut kesihatan awam,” kata Ong.
Menteri itu berkata syarikat penerbangan akan menghubungi pengembara secara individu.
“Ini adalah peringatan yang serius bahawa virus COVID-19 masih ada dan walaupun kita berjuang untuk mendapatkan kembali kehidupan normal kita, perjalanan itu sudah pasti akan menghadapi cabaran, ada pasang surutnya. Tetapi kita akan terus usahakan dan nantikan bila kita boleh lancarkan ATB dengan selamat,” katanya.
Terdahulu pada sebelah pagi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura mengumumkan ATB akan dilancarkan seperti yang dijadualkan, dengan penumpang yang tiba akan menjalani ujian ketibaan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sukma ditunda: Atlet Melaka mohon had kelayakan umur dipertimbang