Sukma ditunda: Atlet Melaka mohon had kelayakan umur dipertimbang

4ab4bb944a0f68de8c2a9bb65d7cef045f05e6ea51086

MELAKA, 12 Nov — Selepas beberapa negeri memohon agar had umur dan kelayakan atlet yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Johor dilanjutkan, kini tiba giliran atlet Melaka untuk memohon perkara yang sama.

Akur dengan keputusan pembatalan temasya sukan itu susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini, rata-rata atlet Melaka yang ditemui memohon agar Jawatankuasa Tertinggi Sukma meneliti atlet yang sudah membuat persediaan dan melebihi had umur agar diberikan peluang menyertai Sukma dan Para Sukma di Johor pada 2022 kelak.

Atlet berbasikal BMX, Muhammad Darwish Danial Zairi, 20, mengakui selepas mengetahui mengenai pembatalan temasya sukan itu, beliau berasa sedih dan terkesan setelah segala perancangan dan latihan dilakukan sejak beberapa tahun lepas bagi menghadapi Sukma 2020.



“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lepas, kita hadapi banyak kekangan untuk menjalani latihan, namun selepas diberi kelonggaran pada Julai lalu, semangat kami berkobar-kobar untuk memulakan semula latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya juga menyasarkan untuk meraih pingat emas setelah memenangi pingat gangsa pada Sukma 2018 di Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, baru-baru ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan pembatalan Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor akibat ketidaktentuan yang disebabkan penularan wabak COVID-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia daripada segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.



Justeru, Muhammad Darwish memohon agar kelayakan had umur sedia ada iaitu bawah 21 tahun dilanjutkan kepada 23 tahun bagi membolehkan atlet yang sudah membuat persediaan bagi edisi 2020, dapat beraksi pada Sukma akan datang.

Atlet tenpin boling, Iddin Sorkapli turut menyuarakan perasaan kecewa kerana beliau dan rakan sepasukan kebanyakannya kini sudah berusia lingkungan 20 dan 21 tahun, dan apabila temasya itu berlangsung pada 2022, mereka akan melepasi syarat had umur kelayakan Sukma.

“Sedikit tertekan…jadi, kami berharap perkara ini dapat dipertimbangkan sewajarnya,” katanya yang meraih dua pingat perak pada Sukma 2018.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button