Keberkesanan inisiatif komunikasi berhubung COVID-19 agak baik – Saifuddin
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menjawab soalan wartawan semasa melawat pusat media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.
x
BERITA BERKAITAN
COVID-19 persiapkan rakyat depani gaya hidup berlandaskan inovasi, teknologi
COVID-19 di Indonesia: 4,998 kes baharu, jumlah keseluruhan kini 493,308
21/11/2020 06:05 PM
KUALA LUMPUR, 21 Nov — Inisiatif komunikasi yang telah dilaksanakan kerajaan dalam menyebarkan maklumat berhubung pandemik COVID-19 setakat ini menunjukkan keberkesanan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata perkara itu adalah berdasarkan tahap kesedaran dan kefahaman rakyat tentang pandemik COVID-19 yang tinggi dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan serta arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, inisiatif komunikasi itu perlu dilipatgandakan lagi bagi memastikan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap wabak tersebut berada di tahap tertinggi.
“Dalam konteks virus yang tidak kelihatan dan telah merebak di tengah-tengah komuniti, kewujudan peratusan yang kecil pun yang tidak mematuhi SOP dan arahan hendaklah dilihat sebagai satu masalah yang besar.
“Di samping itu, akibat beberapa faktor terutama politik dan sebahagian besarnya adalah kesan daripada Pilihan Raya Negeri Sabah, kini timbul masalah defisit kepercayaan dengan pelbagai cabangnya yang perlu ditangani dengan cermat,” katanya kepada Bernama.
Saifuddin berkata sejak bermulanya pentadbiran di bawah Perikatan Nasional, banyak inisiatif komunikasi telah dijalankan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pelbagai pemegang taruh lain.
Memetik rencana kolum Merentas Ruang (Bil 8, 4 Nov 2020) bertajuk ‘Prihatin Menangani COVID-19,’ beliau berkata gambaran keseluruhan yang diberikan menunjukkan bahawa kerajaan menyeimbangkan antara kesihatan dan nyawa rakyat dengan ekonomi.
Selain itu, kerja-kerja kesihatan dan bukan kesihatan (termasuk kewangan dan ekonomi) bagi menangani pandemik tersebut telah menunjukkan kejayaan serta perancangan ekonomi dilakukan dengan teratur.
Justeru, Saifuddin berkata selain meneruskan inisiatif komunikasi yang telah dijalankan selama ini, ia sedang dilipatgandakan dengan perancangan dan pelaksanaan lebih sistematik.
“Ia (perancangan) dibahagikan kepada tiga komponen iaitu ‘Analisis’, ‘Penyelesaian’ dan ‘Pelaksanaan’. Penekanannya kini ialah kualiti dan keberkesanan komunikasi, bukan sekadar kuantiti,” katanya.