Warga Ukraine peringati peristiwa ‘holodomor’ esok
27/11/2020 08:40 PM
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Rakyat Ukraine di seluruh dunia pada esok (Sabtu) akan memperingati Hari Holodomor iaitu peristiwa genosid yang menyaksikan mangsa mati akibat kebuluran, dilakukan rejim Soviet sehingga mengorbankan jutaan nyawa.
Kedutaan Ukraine di Malaysia berkata Holodomor antara peristiwa penting dalam lipatan sejarah rakyat Ukraine dan pada setiap Sabtu keempat November, warga Ukraine menyalakan lilin di jendela sebagai mengenang mereka yang terbunuh dalam tragedi itu.
“Pelbagai acara peringatan akan diadakan termasuk bertafakur seketika untuk mengenang mereka yang yang tidak bersalah menjadi mangsa dalam tragedi menyayat hati itu,” kata kedutaan dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Holodomor bermaksud pembunuhan besar-besaran dengan sengaja membiarkan orang awam kebuluran, yang berlaku pada 1932-33.
Kedutaan berkata sebelum ini rakyat dilarang berbicara mengenai Holodomor dan sesiapa yang berani berbuat demikian akan dihukum.
“Hanya selepas kemerdekaan, rakyat Ukraine mula mendapat maklumat mengenai tragedi ngeri ini, yang kini diakui sebagai satu bencana kemanusiaan terbesar abad ke-20 di Eropah,” tambahnya.
Pada 1985-1988, Suruhanjaya Kongres Amerika Syarikat mengkaji peristiwa kebuluran di Ukraine itu dan kemudian mengakui Holodomor satu daripada jenayah genosid.
Monumen atau tugu peringatan dibina di lebih 40 bandar di 15 negara untuk memperingati mangsa Holodomor.
Tatar Crimea – Kisah etnik Islam Eropah yang dilupakan