Komandan Iran terbunuh dalam serangan udara di sempadan Syria-Iraq
DEIR EZ-ZOR/ANKARA, 1 Dis — Komandan Kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Muslim Shahdan terbunuh pada Isnin dalam serangan udara di sepanjang sempadan Syria-Iraq, lapor Agensi Anadolu berdasarkan sumber tempatan.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, yang melibatkan sebuah pesawat perang tidak dikenali menyasarkan komandan dan tiga pengawalnya berhampiran sebuah kampung di wilayah timur Deir ez-Zor Syria.
Serangan itu dilakukan beberapa hari selepas pembunuhan saintis nuklear terkenal Iran Mohsen Fakhrizadeh.
Deir ez-Zor adalah laluan utama antara Iran dan Lubnan. Laluan saluran paip dan perdagangan dari Iraq dan Jordan turut melalui wilayah itu.
Dengan bantuan militan Rusia dan Iran, bahagian tengah dan barat Deir ez-Zor jatuh kepada rejim Bashar al-Assad Syria setelah pengganas Daesh berundur dari wilayah itu pada November 2017.
Majoriti militan asing disokong Iran yang memperjuangkan pasukan rejim Assad terletak di Deir ez-Zor. Kumpulan-kumpulan ini, beroperasi dalam kalangan penduduk majoriti Sunni, diperintah IRGC.
Deir ez-Zor, yang bersempadan dengan tebing timur Sungai Euphrates, kini berada di bawah kawalan pertubuhan pengganas YPG/PKK.
Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK yang disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Turki, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah – bertanggungjawab ke atas kematian 40,000 orang, termasuk wanita, kanak-kanak, dan bayi. YPG adalah cabang PKK Syria.