Venezuela sedia adakan pilihan raya Parlimen 6 Dis

 

 

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Venezuela sudah bersedia mengadakan Pilihan Raya Parlimen ke-25 pada 6 Disember bagi memilih 277 anggota Parlimen untuk tempoh lima tahun bermula 2021.



Kerajaan Venezuela, dalam satu kenyataan baru-baru ini, akan memastikan pilihan raya itu berlangsung aman, bebas dan telus. Keputusan rasmi dijangka diketahui pada hari yang sama.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang ‘campur tangan asing’ dalam proses pilihan raya.

Pilihan raya ke-25 dalam 20 tahun Revolusi Bolivaria akan diadakan secara bebas dan berdaulat dengan mematuhi peraturan perlembagaan.

“Justeru, Venezuela tidak akan menerima sebarang campur tangan luar. Sehubungan itu, Venezuela mengharapkan Kesatuan Eropah untuk mengamalkan sikap sesuai dengan prinsip-prinsip peraturan Undang-Undang Antarabangsa dan memainkan peranan yang positif dan penuh hormat.”



Kenyataan itu disampaikan kepada Bernama oleh Kedutaan Venezuela di Malaysia.

Lebih 14,000 calon dari 107 parti politik dan pertubuhan (98 daripadanya didefinisikan sebagai pembangkang) akan bersaing merebut 277 kerusi anggota dewan bagi tempoh bermula 5 Januari 2021 hingga 4 Januari 2026.

Menurut Daftar Pemilih, sejumlah 20,710,421 pengundi, termasuk lebih 250,000 pengundi baharu, layak untuk memilih dalam pilihan raya kali ini.

Majlis Pilihan Raya Nasional (CNE) juga telah membuat dua simulasi pilihan raya pada 25 Oktober dan 15 November, bagi memastikan ia dapat diadakan dengan lancar.



“Pilihan raya ini akan melalui 16 audit, yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas undian, bagi mengesahkan setiap proses utama sistem pemilihan, memastikan kualiti dan tidak berlaku sebarang kerosakan,” kata kenyataan itu.

Kempen elektoral pilihan raya kali ini, yang bermula pada 3 November, akan berakhir pada 3 Disember.

Sementara itu, disebabkan pilihan raya diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19, CNE juga memastikan pihaknya menyusun pelan biokeselamatan yang strategik untuk mencegah penyebaran virus.

Dalam buletinnya, CNE mengatakan ia menjamin kesihatan setiap warga negara Venezuela yang terlibat dalam pilihan raya akan dilindungi melalui langkah-langkah pencegahan.



CNE juga telah melantik koordinator biokeselamatan di setiap pusat mengundi.

[attach 2]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button