JAWATAN SHEILA MAJID SEBAGAI PENGERUSI RPM – RAFI BERUSAHA MAHU GANTI
“Kalau dia menganggap ini satu ancaman, ya ini satu ancaman. Saya memang berusaha untuk mengisi jawatan itu,” kata komposer dan pemuzik, Mohd. Rafi Shafie, 51, yang menawarkan diri untuk menggantikan tempat penyanyi Sheila Majid selaku pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM) yang dianggap tidak kompeten.
Isu melibatkan badan pelesenan RPM berhubung kedudukan Datuk Seri Sheila Majid sebagai pengerusi dipandang serius ahli-ahlinya.
Pada siang media yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor semalam, Mohd. Rafi yang juga merupakan ahli RPM, mendakwa pucuk pimpinan utama badan tersebut gagal menggalas tanggungjawab sehingga berdepan masalah agihan royalti kepada ahlinya.
Menurut Mohd. Rafie dia juga pernah mencabar kedudukan Sheila selaku presiden pada 2017, namun dirinya dipersoal mengenai kredibilitinya.
Klik untuk gambar besar
“Sebelum ini saya pernah mencabar pengerusi, tapi beliau bertanyakan apa latar belakang saya. Tak perlu umum tahu siapa saya, tetapi cukuplah 100 peratus ahli kenal saya.
“Saya cukup pengalaman nak menerajui RPM. Konsert dia (Sheila) pun saya main. Datuk Sheila Majid, saya mampu menggantikan anda,” katanya yang sudah tiga dekad dalam industri muzik.
Terdahulu, Karyawan turut mendesak agar Sheila Majid melepaskan jawatan ekoran dakwaan bahawa dirinya gagal menjalankan tanggungjawab berhubung isu agihan royalti.
Bahkan, baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut menjalankan siasatan berhubung dana kutipan royalti kepada empat badan pelesenan termasuk RPM. Sehingga kini RPM yang diterajui Sheila sejak 2012 mempunyai seramai 1,868 ahli berdaftar.