Plaza Tol Sedenak dibuka semula tengah malam ini (2 Dis)
03/12/2020 01:54 AM
JOHOR BAHRU, 2 Dis — Plaza Tol Sedenak di sini yang ditutup sementara sejak 12 tengah hari tadi, akan dibuka semula kepada semua kenderaan, mulai 12 tengah malam ini.
PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dalam kenyataan menyatakan pembukaan semula itu hanya dibuat selepas semua kerja sanitasi dilaksanakan secara menyeluruh, oleh agensi berkaitan.
“Semua kerja-kerja disinfeksi, sanitasi dan pembersihan di plaza terbabit, hanya boleh dijalankan mulai 9 malam ini (2 Dis),” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dari Sedenak dan kawasan sekitar yang ingin menuju ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru, dinasihatkan agar memasuki lebuh raya PLUS menerusi Plaza Tol Simpang Renggam atau Kulai, sepanjang tempoh penutupan tersebut.
Sementara itu, orang ramai dari Kuala Lumpur yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Simpang Renggam, manakala orang ramai dari Johor Bahru yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya, menerusi Plaza Tol Kulai.
Sebarang perubahan mengenai perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Tengah hari tadi, PLUS memaklumkan plaza tol berkenaan terpaksa tertutup selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.
Kakitangan tersebut merupakan seorang pembantu khidmat pelanggan, yang ketika ini sedang dirawat di sebuah hospital.
Usaha pengesanan kontak sudah dijalankan, termasuk mengarahkan semua kakitangan operasi dan penyelenggaraan di plaza tol berkenaan, agar melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan.
Empat lelaki ditahan halang tugas penjawat awam di Plaza Tol Slim River