COVID-19: Keputusan India kenakan sekatan pergerakan di peringkat awal bantu beri penunjuk positif

02/12/2020 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Keputusan kerajaan India untuk menguatkuasakan sekatan pergerakan sejak peringkat awal wabak COVID-19 melanda, membantu memberikan penunjuk positif terhadap ekonomi negara.

Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia dalam satu kenyataan berkata walaupun jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun, disebabkan pandemik, namun, KDNK untuk suku kedua (Q2) tahun ini sebanyak – 7.5 peratus, jauh lebih kecil berbanding 23.9 peratus suku pertama (Q1) 2020.

“Terdapat peningkatan besar yang dapat dilihat pada perbelanjaan penggunaan swasta.

“Pertanian melaporkan pertumbuhan 3.4 peratus pada suku kedua (Q2) sama seperti Q1. Pembuatan meningkat sebanyak 0.6 peratus pada Q2 dibandingkan dengan penguncupan -39.3 peratus pada Q1,” katanya.

Contohnya, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi pembuatan meningkat dari 56.8 pada September menjadi 58.9 pada Oktober 2020, mencatatkan angka tertinggi dalam sedekad.

PMI bagi Perkhidmatan juga meningkat kepada 54.1 pada Oktober, mengakhiri penguncupan tujuh bulan, menandakan keadaan pasaran yang bertambah baik.

“Penggunaan tenaga mencatat pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 12.1 peratus pada Oktober dan 4.5 peratus pada 24 hari November, mencerminkan pemulihan. Aktiviti ekonomi di semua bidang – pertanian , industri dan perkhidmatan juga mencatatkan pertumbuhan,” katanya.

Penjualan kenderaan penumpang turut melaporkan pertumbuhan dua peratus pada Oktober 2020, sementara jumlah penjualan kenderaan roda dua meningkat 16.8 peratus.

Menurut kenyataan itu, kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mencatatkan kenaikan tertinggi selama lapan bulan pada Rs1.05 100,000 juta (kira-kira US$13.59 bilion) pada Oktober – melepasi Rs1 juta juta selepas Februari 2020 – mencatat tahun positif pada pertumbuhan tahunan 10.2 peratus.

Perdana Menteri Narendra Modi membuat keputusan pantas dan proaktif untuk mengekang penularan wabak, termasuk ujian saringan terhadap penumpang penerbangan dari 17 Januari dan antara negara pertama memperkenalkan kit ujian pantas antigen bersama ujian RT-PCR, melarang perjumpaan sosial dan mewajibkan pemakaian pelitup muka pada April.

India dikenakan perintah sekatan pergerakan pada 24 Mac.

Tambah kenyataan itu lagi, ketika memerangi wabak itu, kerajaan India juga mengumumkan Pakej Pradhan Mantri Garib Kalyan (PMGKP) bernilai 1.70 lakh crore (kira-kira US$22.6 bilion) untuk membantu golongan miskin dan penduduk terjejas.

Bijirin makanan percuma dan pembayaran tunai kepada wanita, warga emas dan petani miskin turut disediakan.

Leave a Reply