JACLYN VICTOR AKUI SUDAH LAPAN KALI RPM AGIHKAN ROYALTI AHLI

“Sudah lapan kali kami buat pengagihan. Hanya kerana kami tak hebohkan satu kampung atau satu Malaysia, tak bermaksud kami tak buat kerja. Pengagihan kami hanya untuk artis rakaman yang telah mendaftar sebagai ahli RPM dan juga berdasarkan berapa kerap lagu mereka diputarkan atau berkumandang di tempat umum.

“Kita tak boleh membuat kutipan untuk artis atau pemuzik rakaman yang bukan ahli RPM. Ia hanya untuk artis rakaman RPM yang lagunya dimainkan di radio dan tempat yang diiktiraf untuk mendapat royalti,” demikian kata penyanyi Jaclyn Victor.

Ahli Lembaga Pengarah Recording Performers Malaysia (RPM), Jaclyn menolak dakwaan mengatakan mereka tidak pandai membuat kerja apabila dipilih menduduki jawatan terbabit.



Jac, 42, yang juga penyanyi berkata, dia berasakan kenyataan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak betul kerana sepanjang berada di RPM, mereka sudah beberapa kali melakukan pengagihan kutipan royalti termasuk baru-baru ini.

Jac yang dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah RPM bersama Altimet, Ana Raffali dan Aniu berkata, sekiranya sesebuah lagu itu popular, pasti akan dimainkan di radio dan akan dinyanyikan di pusat karaoke: “Ada kesinambungan perkara ini. Ia berdasarkan kepada berapa kerap dimainkan di pusat beli belah, pusat karaoke dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, ahli RPM yang membuat tuntutan lagu mereka sahaja yang akan mendapat royalti: “Kalau anda ahli RPM tapi tak memberi butir-butir penyertaan dalam sesebuah lagu itu ke RPM itu susahlah. Contohnya lagu nyanyian saya, Gemilang tapi saya tak tahu siapa yang memainkan muziknya.

“Kalau saya sendiri pun tak tahu, cuba bayangkan orang biasa lagilah tak tahu. Kalau kita sendiri tak buat kajian dan kerja itu, susahlah. Hanya anda sahaja yang akan tahu lagu apa yang anda mainkan. Kalau penyanyi senang kita kenalpasti, tapi untuk pemuzik kerjanya rumit.



“Jadi jika anda ahli RPM tapi anda tak tuntut, anda takkan dapat royalti. Bukan nak kata duit itu kami makan. Duit itu ada, cuma kena buat kerja sikitlah, datang dan tuntut sahaja,” tuturnya.

Menurutnya, dia tidak tahu apa motif pihak terbabit berbuat demikian: “Yang penting kami pasti ahli kami tahu yang kami buat kerja. Kalau kami tak buat kerja, takkan ada pengagihan. Sejak kami mula di RPM sehingga bulan lalu, kami sudah buat lapan kali pengagihan kalau tak silap saya,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jac menjelaskan mereka juga sudah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

50 KALI MINTA – FREDDIE FERNANDEZ AKUI BUKAN SENGAJA CARI MUSUH ATAU BERGADUH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button