Mentaliti juara Sikh Izhan bersama Selangor FC
03/12/2020 06:49 PM
KUALA LUMPUR, 3 Dis — Penjaga gol muda berpotensi negara Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berazam menimba sepenuhnya pengalaman di kancah tertinggi, selepas diserapkan ke dalam skuad utama Selangor FC menjelang saingan Liga Super 2021.
Bekas pelatih generasi pertama Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) berusia 18 tahun itu, bersedia mengadaptasikan pengalaman berlatih bersama barisan pemain berpengalaman, terutama di posisi penjaga gol bagi memacu transformasi peningkatan prestasi di Selangor FC.
Beliau yang menyimpan hasrat membuktikan kemampuannya di pentas tertinggi, mahu menjadikan penjaga gol kebangsaan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dan Taufiq Ar Rasyid Johar sebagai sumber rujukan, mempelajari ilmu serta teknik baharu di Selangor FC.
“Azam musim baharu saya adalah untuk mengambil pengalaman dan mempelajari ilmu sebanyak mungkin daripada penjaga gol berpengalaman, seperti Khairulazhan sertaTauffiq Ar-Rasyid dan bersaing bersama mereka secara sihat.
“Saya perlu bersabar, belajar dan mencabar kedudukan utama pada masa yang sama. Ini kerana saya sebagai pemain muda perlu mengeksploitasi tempoh ini untuk mempelajari dan mengambil pengalaman secepat mungkin, daripada pemain yang lebih berpengalaman,” katanya kepada Bernama.
Sikh Izhan muncul penjaga gol tunggal dalam kalangan lima pemain Selangor II termasuk ketua pasukan Sharul Nazeem Zulphakar, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Ahmad Zikri Khalili dan Ahmad Danial Ahmad Asri, yang diberi kepercayaan beraksi bersama skuad Selangor FC musim depan.
Ia sekali gus menyaksikan Sikh Izhan mengatasi bekas rakan sepasukan Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, yang juga penjaga gol utama skuad B-19 kebangsaan.
Pemain berketinggian 180 sentimeter (cm) itu yang membuat empat penampilan bersama Selangor II dalam kempen Liga Premier musim lalu, bakal menjadi penjaga gol ketiga skuad Gergasi Merah selepas Mohd Khairulazhan dan Taufiq Ar Rasyid.
“Sebagai pemain profesional, saya akan sentiasa bersaing secara kompetitif tidak kira dengan siapa pun, dan apabila tiba masanya diberikan peluang untuk beraksi, saya bersedia,” jelasnya yang mengidolakan penjaga gol utama Manchester United David de Gea.
Dalam pada itu, Sikh Izhan berkata proses pembelajaran dan menimba pengalaman akan lebih cepat, sekiranya beliau menerapkan konsep mentaliti juara dalam latihan serta permainannya.
Sementara itu, Mohd Khairulazhan mengalukan kedatangan Sikh Izhan serta gembira beliau berjaya menempah nama, dalam skuad utama Selangor FC.
“Ini adalah permulaan baru, nasihat saya kepada beliau terus berusaha sebaiknya. Dengan adanya usaha pasti akan ada kejayaan,” katanya seperti dipetik dalam ciapan Twitter Selangor FC hari ini.