POLIS TERIMA LIMA LAGI LAPORAN – #STANDWITHDAISYED TRENDING DI TWITTER
Nampaknya isu mengenai pendakwah selebriti, Da’i Syed yang kini masih dalam tahanan reman selepas didakwa terbabit salah laku seksual itu sehingga ke hari ini masih lagi hangat diperkatakan. Terkini, pihak polis memaklumkan mereka menerima lima lagi laporan dibuat terhadap suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, semua laporan itu diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Petaling Jaya. Polis berkata pihaknya percaya kemungkinan ada pertambahan kes.
“Siasatan masih berjalan, setakat ini dua daerah terima laporan polis berhubung tindak laku pendakwah terbabit. Polis akan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
“Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menyeru pada mangsa-mangsa agar tampil ke hadapan sekiranya mereka mangsa kepada pendakwah ini,” katanya.
Dalam pada itu, polis percaya pendakwah muda berkenaan menggunakan kata-kata manis, dalam usaha menjerat mangsanya. Malah, mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah tersebut kerana cara komunikasinya.
Klik untuk gambar besar
“Kebanyakan mangsa masih muda, usia sekitar 21 hingga 25 tahun, mangsa mungkin tertarik dengan pendakwah itu kerana cara dia mendekati mangsa dalam usia sebegini.
“Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenangkan dan meyakinkan mangsa terutamanya bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa.
“Tarikan dari segi rupa paras itu bergantung pada yang melihat, ada nampak dia tampan, ada sebaliknya tetapi cara dia bercakap yang dapat menarik mangsa,” tuturnya.
Mengulas mengenai dakwaan kononya pendakwah itu menggunakan ilmu pengasih, polis berkata setakat ini pihaknya tiada maklumat mengenainya.
“Ilmu pengasih saya tidak tahu, tapi kadang-kala lelaki warga asing kulit hitam pun boleh dapat gadis yang muda cantik juga. Ini bermakna cara bercakap, mendengar masalah, itu yang menjadi kelemahan wanita apabila mendapat nasihat dan tunjuk ajar. Itu adalah satu faktor yang penyebab mereka terjerat dengan pendakwah itu,” ujarnya.
Sementara itu, meskipun ramai yang mengecam pendakwah itu, namun viral di laman Twitter tanda pagar #StandWithDaiSyed yang dipercayai sebagai tanda sokongan terhadap selebriti itu.
Menerusi tanda pagar itu, rata-rata netizen memberi kata-kata semangat dan berharap Syed diberikan keadailan sewajarnya sepanjang tempoh siasatan.
Seorang netizen tampil mempertahankan pendakwah itu dengan mengatakan dia sentiasa mengutamakan ibunya dan berkata Allah sentiasa ada bersama dengan orang yang benar.
“Korang nampak Syed macam kurang didikan agama dan semua hentam dia tapi anda tahu tak dia sentiasa buat panggilan video ibunya sambil menangis dan menyanyi. Lepas tu simpan nombor ibunya dengan nama syurga.
“Allah bersama orang yang benar. Kuatkan diri dan abaikan orang yang kecam tanpa menggunakan akal fikiran itu. Kami sentiasa menyokong anda.
“Rindu nak tengok live Da’i Syed. Begitu hebat ujian seorang pendakwah. Semoga Da’i Syed bertabah dengan ujian ini dan semuanya cepat selesau. Kami merinduimu Da’i Syed,” tulis peminat.
Kata netizen itu lagi, dia rindu untuk melihat pendakwah berkenaan di Live Instagram dan berharap Da’i Syed tabah dengan semua ujian. Dalam pada itu, ramai yang mengecam tindakan mewujudkan tanga pagar tersebut.
Kata netizen ia hanya boleh diguna pakai selepas dia dibuktikan tidak bersalah. Netizen mengatakan tanda pagar itu trending bukan kerana ramai yang memberi sokongan sebaliknya rasa kurang senang.
Polis akan mohon lanjutkan perintah reman terhadap pendakwah muda