UAE mahu tingkatkan hubungan dagang, pelaburan dengan Malaysia – Duta

03/12/2020 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith, berharap hubungan dua hala UAE dan Malaysia akan terus dipertingkat terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Bercakap pada sambutan Hari Kebangsaan ke-49 UAE diadakan secara maya semalam, Duta itu berkata perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah US$6.42 bilion pada 2019 dan “kami mengharapkan pertumbuhan lebih pesat pada tahun-tahun mendatang.”



Beliau turut memuji hubungan dua hala UAE dan Malaysia yang sudah terjalin kukuh sejak sekian lama.

“Hubungan dua hala kita juga unik kerana ikatan persaudaraan antara kepimpinan UAE dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” kata Alghaith.

Tambah beliau: “Saya di kesempatan ini berdoa semoga Allah SWT memberkati kepemimpinan UAE dan Yang di-Pertuan Agong dengan dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan, saya juga berdoa negara dan rakyat Malaysia lebih maju dan makmur sejahtera.”

Sambutan dihoskan kedutaan UAE itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha untuk Asia Selatan dan Tengah di Kementerian Luar Malaysia Mohammad Azhar Mazlan, Staf Atase Ketenteraan UAE, Leftenan Kolonel Ali Ghdayer Alnuaimi, serta wakil syarikat nasional UAE di Malaysia iaitu: Etihad Airways, Emirates Airlines, dan Mubadala Petroleum.



Dalam ucapannya duta itu turut menjelaskan mengenai pencapaian utama UAE di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa, meskipun 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar dan luar biasa disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pencapaian itu termasuk melancarkan loji tenaga nuklear, pertama seumpamanya di rantau ini, dan menghantar prob angkasa lepas Arab dan Islam pertama ke Marikh – dikenali “the Hope Probe” – meletakkan UAE satu daripada sembilan negara yang ingin meneroka planet Marikh.

Alghaith berkata ketika dunia berhadapan krisis kemanusiaan terbesar sejak berdekad disebabkan pandemik COVID-19, UAE dapat menyatukan pendekatan kemanusiaannya, yang menjadi tonggak penting dasarnya, terutama berkaitan kerjasama antarabangsa dan perpaduan dengan masyarakat yang memerlukan.

Dilaporkan sejak awal pandemik COVID-19 melanda dunia, UAE menghulurkan bekalan perubatan dan bantuan kemanusiaan kepada lebih 120 negara yang memerlukan, memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta orang.



Arab Saudi buka ruang udara kepada penerbangan Israel

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button