Musim banjir : Gantung barang rumah lumrah selamatkan harta benda
05/12/2020 02:32 PM
Oleh Muhammad Afiff Md Adnan
SETIU, 5 Dis — ‘Alah bisa tegal biasa’, itulah perumpamaan sesuai bagi menggambarkan kegigihan keluarga mangsa banjir di Kampung Banggol yang terpaksa menggantung katil, rak pakaian mahupun harta benda lain di rumah mereka untuk menyelamatkan barangan itu daripada rosak atau dihanyutkan air bah.
Ia adalah pemandangan biasa bagi kebanyakan rumah di kampung ini menggantung harta benda mereka setiap kali musim banjir dan keadaan itu seperti menyaksikan barangan di dalam rumah seolah-olah terapung.
Bagi Mek Mani Kadir , 60, yang menetap di Kampung Banggol berkata setiap tahun kawasan penempatannya dinaiki air dan menggantung barangan dengan tali di siling rumah sudah lali dilakukan oleh keluarganya.
Wanita warga emas itu bersyukur kerana kerja-kerja itu kini dibantu oleh menantu lelakinya.
“Ini yang dilakukan keluarga kami berikutan keadaan banjir melanda kawasan ini setiap tahun sejak dari saya kecil hingga sekarang. Nasib baik ada keluarga untuk tolong gantungkannya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Banggol di sini hari ini.
Mek Mani berkata keadaan hujan lebat sehingga menyebabkan kawasan bawah rumahnya digenangi air juga telah mengakibatkan tandas di dalam rumahnya tidak boleh digunakan.
“Bagaimanapun, kami masih mempunyai satu lagi tandas di dalam rumah ini yang dibina sedikit tinggi,” katanya
Mek Mani berkata dia bersama suaminya bagaimanapun masih tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan, berikutan lebih selesa berada di rumah sendiri.
“Kami hanya akan berpindah sekiranya air memasuki rumah sehingga mencecah paras pinggang. Setakat ini air banjir di kawasan luar rumah hanya mencecah paras paha,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di daerah Setiu mendapati banjir di kawasan itu semakin surut berikutan cuaca cerah sejak tengah hari tadi.
Banjir di Perak tambah baik, lebih 500 penduduk dibenar pulang