Selangor harap MKN kaji semula had peserta hadir program cari kerja

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman (dua, kanan) beramah mesra bersama peserta yang menunggu giliran untuk ditemubual kerja pada Majlis Penutup Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

05/12/2020 01:07 PM

SHAH ALAM, 5 Dis — Kerajaan Selangor memohon agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengkaji semula prosedur operasi standart (SOP) melibatkan jumlah kehadiran peserta program mencari kerja anjuran kerajaan negeri.

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata had 100 peserta sehari yang ditetapkan MKN adalah amat sedikit dan sukar bagi pihaknya untuk mencapai matlamat untuk membantu rakyat negeri ini yang kehilangan kerja akibat pandemik COVID-19.



“Jelajah Selangor Bekerja 2020 yang dijalankan selama dua hari ini menawarkan 18,267 kekosongan jawatan daripada 105 majikan bagi pelbagai peringkat kelulusan, kami harap MKN dapat lihat semula SOP membabitkan jumlah peserta ini bagi membolehkan lebih ramai individu yang terjejas dapat hadir untuk mencari pekerjaan.

“Kerajaan Selangor selaku penganjur mampu menyediakan lokasi yang luas untuk penganjuran program seperti ini dan kami akan pastikan keadaan bersesak-sesak tidak berlaku dan penjarakan fizikal dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke peringkat akhir jelajah berkenaan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin, sejak jelajah berkenaan dijalankan di Kuala Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Shah Alam seramai 187 pemohon telah lulus dalam sesi temu duga secara dalam talian yang 42 telah diterima bekerja sementara bakinya diminta hadir untuk temu duga kedua.

“Kami akan teruskan jelajah ini pada tahun hadapan, mungkin di lebih banyak lagi lokasi, terutamanya di daerah-daerah yang lain, yang tidak dianjurkan pada tahun ini,” katanya.



Mohd Khairuddin berkata kerajaan Selangor komited untuk menganjurkan program kerjaya dalam skala lebih besar pada tahun hadapan bagi mencapai hasrat mengurangkan kadar pengangguran ke tahap lebih baik dengan kadar segera.

Sementara itu, seorang peserta Nur Ashikin Razali, 25, berkata program ini sangat bagus kerana menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam keadaan ramai kehilangan pekerjaan atau menganggur ketika pandemik COVID-19 masih melanda negara.

“Walaupun sekarang saya bekerja sambilan sebagai barista, saya juga mahu merebut peluang yang ditawarkan sekali gus mencari kerja tetap,” katanya.

Bagi Nur Sabrina Abdul Halim, 24, pula, beliau berpendapat program itu banyak membantunya memilih bidang pekerjaan bersesuaian kerana maklumat yang disediakan memudahkan peserta mencarinya.



“Apabila saya tahu mengenai program ini, saya sudah menyasarkan beberapa syarikat untuk dipilih mengikut bidang yang diambil ketika di universiti,” katanya.

Menteri hadir ke kediaman Perdana Menteri



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button