Enam individu ditahan bantu siasatan kes bunuh di PPR Taman Intan Baiduri

06/12/2020 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemukan mati dipercayai ditetak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri, Kepong bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun ditahan sekitar Lembah Klang semalam, menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan seramai sembilan orang.

“Hasil siasatan juga mendapati tiga daripada suspek yang ditahan bertanggunjawab dan terbabit dalam kes ini dan motif pembunuhan adalah berkaitan aktiviti pengedaran dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek yang tidak bekerja serta mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah kini direman tujuh hari sehingga 12 Dis depan dan dengan penahanan itu, kes tersebut berjaya diselesaikan.

Beh berkata sebelum ini, pihaknya menahan tiga lelaki pada hari kejadian iaitu 25 Nov lepas dan mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman tamat.

Dalam kejadian pada kira-kira 10 pagi, seorang lelaki berusia 21 tahun ditemui mati dengan kesan tetakan oleh orang awam sebelum melaporkan insiden itu kepada polis.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes menyerang seorang pelanggan restoran di Jalan Metro Perdana, Taman Usahawan, Kepong pada Jumaat lepas.

Suspek berusia 35 tahun ditahan pada kira-kira 7 malam semalam di Jalan Pudu dan direman empat hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut.

“Kita masih memburu lima lagi individu yang terbabit dalam kes ini,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira 9.50 malam 4 Dis lepas, mangsa yang berusia 30 tahun bersama isterinya diserang tiga lelaki yang berang kerana mangsa memarkir kenderaannya secara ‘double park’ menyebabkan kereta suspek tidak dapat keluar.

Lelaki di bawah pengaruh dadah cedera kemaluan akibat dihiris rakan wanita

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker