ESSCom tahan tiga lelaki, selesai siri rompakan laut di Tawau, Kunak

06/12/2020 02:17 PM

SEMPORNA, 6 Dis — Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan tiga lelaki warga Filipina yang dipercayai terbabit dalam empat kes rompakan dan samun laut di Tawau dan Kunak, selain merampas sepucuk pistol berserta peluru dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata tiga suspek berumur 20 hingga 50 tahun terbabit ditangkap di perairan Pulau Nusa Tengah dan Pulau Omadal dekat sini.



“Dalam serbuan pertama pada 9.30 malam Jumaat, ESSCom bersama-sama Pasukan Polis Marin telah menyerbu sebuah pondohan (rumah kecil atas air) dan menahan dua suspek.

“Pemeriksaan lanjut di pondohan itu menemukan sepucuk pistol Colt .45 bersama 25 butir peluru hidup yang disimpan di dalam beg silang serta sebilah parang, selain barang curi seperti enjin sangkut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya suspek kedua pula ditahan dalam satu lagi serbuan di kawasan pondohan perairan Pulau Omadal pada 7 pagi Sabtu.

“Penahanan kesemua suspek berjaya menyelesaikan satu kes di Kunak dan tiga kes di Tawau termasuk kejadian baharu di perusahaan bagang di Inderasabah,Tawau pada Khamis lepas apabila seorang mangsa lelaki didatangi dua suspek bersenjata seakan pistol dan menyamun generator, tong gas serta telefon bimbit mangsa,” katanya.



Ahmad Fuad berkata kes disiasat menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompak berkumpulan.

Pada masa sama, beliau meminta masyarakat, khususnya komuniti pesisir pantai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), agar memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 untuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang.

ESSCom sahkan rompakan laut di Pulau Burung, libat kelompok dalaman



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button