Mangsa banjir di kluster COVID-19 tidak dibenar pulang sebelum rumah disanitasi

05/12/2020 10:14 PM

PASIR PUTEH, 5 Dis — Mangsa banjir dari kawasan kluster COVID-19 yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) tidak dibenarkan pulang sehingga kediaman mereka disanitasi terlebih dahulu.

Timbalan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Kamarulzaman Ab Wahab berkata peraturan itu dibuat sebagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk memastikan penduduk benar-benar selamat apabila pulang ke rumah dan tidak dijangkiti wabak tersebut.



“Mereka perlu bersabar walaupun pada asasnya kediaman mereka telah selamat diduduki (dari ancaman banjir),” katanya kepada pemberita pada majlis penutupan PPS di Dewan Kompleks Kamil di sini hari ini dan difahamkan kerja-kerja sanitasi tersebut akan dilakukan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang menyatakan satu kluster baharu dikenali Kluster Huma dikesan melibatkan daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Sehingga semalam, seramai 80 individu telah disaring dari kawasan itu yang mana 20 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster berkenaan.

Kamarulzaman berkata, empat pusat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Petai, Dewan Kompleks Kamil, SK Bukit Jawa 2 dan SK Changgai ditutup mulai pagi ini.



Katanya, bagaimanapun, dua PPS iaitu SK Kamil 3 dan SK Wakaf Raja masih kekal beroperasi sebelum kediaman mereka disanitasikan, selain masih dinaiki air.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh Wan Norhayati Wan Husain berkata seramai 167 daripada 219 mereka yang terjejas banjir dari empat PPS berkenaan dibenarkan pulang hari ini.

Mangsa banjir Kelantan dan Pahang meningkat, Terengganu berkurangan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button