Pemuda OKU cekal redah banjir beri makan haiwan ternakan
05/12/2020 09:38 PM
Oleh Muhammad Afiff Md Adnan
SETIU, 5 Dis — Kecacatan anggota badan yang dialami Muhammad Firdaus Razami dari Kampung Banggol di sini tidak menghalang beliau daripada memerah keringat dan mengerah tenaga empat kerat demi memastikan 25 ekor kambing biri-biri peliharaannya tidak terputus makanan pada musim banjir ini.
Ia bukan tugas mudah apabila pemuda berusia 25 tahun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) sejak sembilan tahun lepas berikutan kemalangan motosikal yang mengakibatkan tangan kanannya mengalami kecacatan kekal dan tulang lemah itu terpaksa meredah banjir untuk memberi makan haiwan ternakannya.
Setiap kali banjir melanda rumahnya yang terletak satu kilometer dari jalan raya di Kampung Banggol, Muhammad Firdaus akan berasa risau bukan sahaja untuk memberi makan tetapi juga menyelamatkan ternakannya jika kandang haiwan ternakan itu ditenggelami air.
“Kandang itu dibina di luar rumah dan saya perlu kerap menjenguk ke luar apabila kawasan ini dinaiki air bagi memastikan ia tidak sampai ke paras atas kandang tersebut,” katanya.
Muhammad Firdaus berkata jika paras air semakin tinggi, beliau perlu mengalihkan haiwan ternakannya itu ke tempat lebih selamat.
“Mengalihkan kambing-kambing ini satu tugas sukar dan saya perlu bertindak awal untuk berbuat demikian dengan bantuan adik-beradik saya.
“Ini termasuklah mengalihkan mereka menggunakan sampan seekor demi seekor ke kawasan lebih tinggi. Alhamdulillah, air tidak sampai ke paras itu kali ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bagaimanapun, Muhammad Firdaus berkata laluan ke kandang kambing biri-biri itu ditenggelami air dan perlu diredah untuk memberi haiwan tersebut makan.
Beliau juga memiliki haiwan ternakan lain seperti lembu dan kuda yang perlu dilindungi daripada banjir itu.