Muhammad Ezuan intai peluang kembali sertai skuad kebangsaan


Muhammad Ezuan Nasir Khan – gambar fail

07/12/2020 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Pengguguran daripada skuad menembak kebangsaan pada awal tahun ini tidak mematahkan semangat penembak veteran, Muhammad Ezuan Nasir Khan untuk kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

Atlet berusia 31 tahun itu yang digugurkan daripada Program Podium menegaskan, penguguran berkenaan bukanlah kali pertama memandangkan beliau pernah mengalami nasib yang sama sebelum ini, dengan kali terakhir pada 2017 bersama tiga lagi penembak – Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Nur Suryani Taibi dan Muslifah Zukifli – disebabkan penurunan prestasi.

Muhammad Ezuan yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan, beliau masih boleh menggunakan kemudahan menembak di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, namun tidak memperoleh sebarang elaun daripada MSN kerana tidak lagi berada dalam Program Podium.

“Saya tetap meneruskan latihan seperti biasa di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun hadapan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

“Bagi saya, tiada perbezaan ketara kemudahan latihan di Lumut dan di Bukit Jalil, cuma di sini (Lumut) menggunakan papan tembakan yang perlu ditukar secara manual, berbanding papan tembakan automatik di Bukit Jalil,” jelas pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 itu.

Dalam pada itu, Muhammad Ezuan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Tulang’ dalam kalangan rakan sepasukan, menyasarkan untuk memperbaiki catatan peribadi terbaiknya pada tahun hadapan selepas beberapa kejohanan tempatan yang dirancang pada tahun ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Beliau pernah melakar rekod kebangsaan dalam acara 10 m air rifle dan 50 m rifle pada Kejohanan Menembak Trofi Tun Hanif 2017, masing-masing menerusi catatan 244.7 mata dan 246.9 mata, sebelum rekod kedua-dua acara berkenaan diperbaharui oleh penembak lain.

Kejohanan Menembak Trofi Ally T.H Ong di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan di Subang yang berlangsung pada Mac lepas merupakan penyertaan terakhir Muhammad Ezuan pada tahun ini, sebelum kejohanan berkenaan dihentikan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dijangka mengadakan mesyuarat pada bulan ini bagi merancang penganjuran beberapa kejohanan tempatan.

Turki nafi tembak jatuh pesawat perang Armenia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker