Pemenang utama cipta logo jubli emas Uda bawa pulang RM10,000

07/12/2020 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Pemenang tempat pertama Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun ke-50 syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset UDA Holdings Berhad (UDA) hari ini membawa pulang wang tunai RM10,000 daripada hadiah keseluruhan RM25,000.

Selain itu, logo rekaan pemenang pertama, Adib Lokman, 27, akan digunakan sepanjang sambutan Jubli Emas UDA manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Abdul Wahid Mat Arop, 35, dan Hooi Kim Seong, 26, yang membawa pulang RM5,000 dan RM3,000 serta tujuh penerima hadiah saguhati.

Pengerusi UDA Datuk Jalaluddin Alias berkata hampir 3,000 penyertaan diterima dan beberapa sesi penilaian melibatkan Pengerusi, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Jawatankuasa Pengurusan Kanan dan kakitangan UDA diadakan bagi memilih 10 logo terbaik sebagai pemenang.

“Pertandingan ini telah mendapat sambutan menggalakkan dan UDA berbesar hati menerima penyertaan ribuan rakyat Malaysia yang kreatif menterjemahkan idea masing-masing dalam bentuk rekaan logo.

“Semoga sambutan Jubli Emas UDA ini dapat menjadi landasan bagi orang ramai untuk lebih memahami fungsi UDA dan sejarah pembangunan UDA, khususnya dalam membangunkan kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertandingan yang berlangsung dari 10 hingga 31 Okt itu adalah pembuka tirai bagi sambutan Jubli Emas UDA dan pelbagai aktiviti serta program akan dijalankan sepanjang tahun.

Leave a Reply