Wendy raih kejayaan berganda dalam kejohanan terjun dalam talian


Wendy Ng Yan Yee (Gambar fail)

06/12/2020 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Penerjun wanita negara Wendy Ng Yan Yee melengkapkan penampilan cemerlang dalam edisi sulung Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian Malaysia apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal wanita, hari ini.

Atlet berusia 27 tahun itu mengumpul 305.25 mata mengatasi rakan senegara, Nur Dhabitah Sabri di tempat kedua yang mendapat 301.25 mata manakala atlet Australia Esther Qin di tempat ketiga dengan 282.60 mata.



Kejayaan dilakar di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini, sekali gus menjadi tonik tambahan kepada atlet itu dalam persiapan rapi menjelang Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan, yang bakal menjadi penampilan ketiganya selepas edisi 2012 di London dan edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

“Terdapat peningkatan (prestasi) berbanding kali terakhir menyertai kejohanan pada Januari lepas, markah keseluruhan juga lebih baik daripada sebelum ini. Saya gembira dengan perkembangan ini dan program latihan yang disediakan sejak beberapa bulan lepas,” katanya.

Semalam, Wendy yang bergandingan bersama Nur Dhabitah menepati ramalan menjuarai acara 3m papan anjal seirama wanita dengan mengumpul 230.58 mata.

Pada masa sama, Nur Dhabitah, 21, berharap meskipun dalam krisis COVID-19 skuad terjun negara berpeluang menyertai lebih banyak kejohanan sebelum bertanding pada temasya Olimpik Tokyo yang dijadual bermula Julai 2021, bagi mengekalkan tahap prestasi.



“Saya rasa perlu (kejohanan dalam talian) sebab kejohanan sangat kurang sekarang dan jika kita tidak mahu hilang suasana bertanding itu, kejohanan seperti ini boleh diperbanyakkan lagi. Kalau tidak berstatus antarabangsa pun, anjurkan dalam kalangan penerjun negara,” katanya.

Wendy-Nur Dhabitah kini memburu tempat dalam acara 3m papan anjal seirama wanita pula selepas masing-masing berjaya mengesahkan slot dalam acara 3m papan anjal di Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, acara 10m platform seirama wanita dan 3m papan anjal seirama lelaki menyaksikan gandingan Leong Mun Yee-Pandelela Rinong Pamg serta Chew Yiwei -Ooi Tze Liang menjadi peserta tunggal dalam kedua-dua acara tersebut.

Mun Yee-Pandelela mengumpul 287.64 mata sementara Yiwei-Tze Liang meraih 397.35 mata.



“Kejohanan ini bagus, yang penting selamat dan semuanya berjalan lancar. Ketiadaan penonton tidak memberi masalah. Saya berbangga kerana Malaysia berjaya anjurkan kejohanan dalam talian ini buat pertama kali,” kata Pandelela, yang merangkul pingat perak 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Dalam pada itu, penerjun Australia Sam Fricker mendominasi acara 10m platform lelaki setelah meraih 413.55 mata sekali gus mengatasi Shunta Kaneko dari Jepun (371.35) dan penerjun New Zealand Nathan Brown (349.80).

Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian Malaysia 2020 yang berakhir hari ini adalah pertandingan pertama disertai skuad terjun negara dalam tempoh hampir setahun susulan penularan pandemik COVID-19.

Kejohanan dua hari itu disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) mempertandingkan acara Sukan Olimpik dan disertai lima negara iaitu Singapura, Jepun, Australia, New Zealand dan Malaysia selaku tuan rumah,



Skuad terjun negara cemerlang pada edisi sulung Kejohanan Terjun Dalam Talian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button