Jun Hoong positif dapat bertanding lepas dua tahun
07/12/2020 08:00 PM
KUALA LUMPUR, 7 Dis — Walaupun tidak mendapat keputusan yang memberangsangkan ketika Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian Malaysia Sabtu lalu, juara dunia 2017 Cheong Jun Hoong, tetap mempunyai sebab untuk bersyukur.
Atlet berusia 30 tahun itu gagal mara ke final 10m platform wanita selepas menduduki tempat terakhir dalam kalangan empat peserta, apabila sekadar meraih 237.05 mata, namun tetap positif kerana akhirnya dapat menyertai pertandingan dan berjaya melengkapkan kejohanan secara maya itu.
Kejohanan itu merupakan aksi kompetitif pertama buat Jun Hoong dalam tempoh lebih dua tahun selepas kali terakhir beraksi pada Piala Dunia di Wuhan, China pada Jun 2018.
Atlet kelahiran Ipoh itu kemudian menjalani pembedahan lutut, selain pandemik COVID-19 yang menyebabkan pembatalan dan penangguhan kejohanan, sehinggalah Renang Malaysia datang dengan idea kejohanan secara maya itu, yang turut disertai penerjun dari Australia, New Zealand, Singapura dan Jepun.
“Saya tak gembira dengan keputusan itu, tetapi gembira sebab dapat lengkapkan terjunan kerana kejohanan ini tiada dalam perancangan saya. Jurulatih Yang Zhulian turut memberikan semangat bahawa saya dapat meningkatkan prestasi pada masa akan datang.
“Saya juga gembira kerana dapat paksa diri untuk terjunan teknikal dalam masa yang singkat, kerana ada orang (pengkritik) cakap saya sudah tak boleh terjun lagi. Saya telah tunjukkan yang saya masih boleh lakukannya tanpa mengira keputusannya,” katanya kepada Bernama.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bagi acara 10m platform seirama wanita bersama Pandelela Rinong itu mengakui, beliau agak kalut dan sukar untuk menjangka gilirannya untuk membuat persiapan di atas platform ketika kejohanan itu, kerana menjadi satu-satunya peserta yang berada di Pusat Akuatik Nasional, berbanding situasi kejohanan yang lazimnya turut disertai oleh peserta lain dan penonton.
Sementara itu, Jun Hoong merasakan bahawa berlatih di China dapat membantunya mencapai balik prestasi sebenarnya dengan lebih cepat, kerana beliau yang menjalani latihan secara kuarantin di Bukit Jalil susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Lembah Klang, hanya dapat berlatih selama tiga jam sehari.
“Kalau boleh saya nak berlatih di luar negara, itu yang terbaik, tetapi buat masa ini kita tak dapat pergi ke mana-mana (sebab COVID-19). Ia kerana fasiliti di China lebih baik dan latihan juga berpusat,” jelasnya.
Mengikut perancangan awal, Jun Hoong dijangka memulakan musim 2021 dengan menyertai Siri Terjun Dunia FINA di Zhuhai, China bermula 26-28 Feb, sebagai pemanas badan Piala Dunia di Tokyo, Jepun bermula 18-23 April, yang juga merupakan kejohanan kelayakan terakhir ke Olimpik.
Bagaimanapun keputusan itu terletak pada keadaan semasa pandemik itu ketika kejohanan berlangsung dan kelulusan kerajaan untuk ke luar negara, katanya.
Pemandu ambulans meninggal dunia lepas hantar pesakit disahkan negatif COVID-19 – Dr Noor Hisham