Penjara lapan bulan: Bekas suami Ziana Zain akan fail petisyen rayuan


Armin Zaharin Ahmad Zambri

SHAH ALAM, 8 Dis — Bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri akan menfailkan petisyen rayuan yang mengandungi alasan mengapa Mahkamah Tinggi perlu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya, selepas memperoleh rekod rayuan daripada Mahkamah Majistret.

Peguam Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 55, berkata pihaknya memerlukan rekod rayuan yang mengandungi alasan penghakiman untuk menyediakan asas rayuan anak guamnya dalam petisyen rayuan tersebut.

“Kami akan failkan petisyen rayuan sejurus mendapat alasan penghakiman selaras dengan peruntukan Kanun Prosedur Jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa mahkamah menetapkan 13 Jan tahun depan untuk pengurusan kes rayuan itu.

“Tarikh itu (13 Jan) adalah bagi membuat semakan sama ada Armin Zaharin telah memasukkan petisyen rayuan itu,” katanya yang ditemui selepas pengurusan kes itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Azizah Jaafar, yang turut dihadiri Amir Farid.

Rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Armin Zaharin memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 28 Sept lalu.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, di sini antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Feb 2018.

Bekas ketua pramugara itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Armin Zaharin ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Feb 2018.

Ziana yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun.

— BERNAMA

Leave a Reply