PPZ, YAKEB jalin kerjasama bantu bekas atlet negara

07/12/2020 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) hari ini memeterai kerjasama bagi membantu bekas atlet negara yang terkesan ekoran penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Kerjasama berkenaan dimeterai wakil kedua-dua pihak sewaktu mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, di sini.

Yakeb, dalam satu kenyataan, memaklumkan program yang dikenali sebagai Jalinan Kerjasama Komuniti Sukan Khaira PPZ-YAKEB itu merupakan inisiatif terbaharu mereka untuk bekas atlet negara.



“PPZ melalui beberapa produk perkhidmatannya telah memperuntukkan dana sebanyak RM60,500 untuk diagihkan kepada bekas atlet negara yang berdaftar dengan YAKEB.

“Bantuan ini diberikan dalam pelbagai bentuk iaitu bantuan tunai, Khaira PPZ dan Khaira Prihatin PPZ, bantuan barangan asas dan Bakul Rezeki Khaira PPZ. Bantuan-bantuan ini diagihkan kepada 161 orang yang memerlukan,” menurut YAKEB.

Kenyataan itu memaklumkan PPZ turut mengambil peluang memperkenalkan sistem pembayaran zakat secara dalam talian, khas untuk komuniti sukan sewaktu melakukan kunjungan hormat berkenaan.

Sistem pembayaran berkenaan diperkenalkan oleh PPZ bertujuan menggalakkan pembayaran zakat antara komuniti sukan, dengan wang zakat diterima PPZ akan disalurkan kembali kepada ahli YAKEB yang memerlukan bantuan sewajarnya.



“Bagi kami, kemudahan yang disediakan perlu disambut dengan baik oleh komuniti sukan di luar sana. Selain memudahkan kita untuk menunaikan tanggungjawab dalam mengeluarkan zakat, ia juga menjadi platform untuk membantu bekas atlet negara yang memerlukan,” menurut kenyataan tersebut.

Antara yang hadir pada kunjungan hormat berkenaan adalah Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ Ahmad Shukri Yusoff.

— BERNAMA

Dua bekas atlet negara positif COVID-19 sembuh – Yakeb

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker