Banjir termenung di lima wilayah di selatan Thailand, 951 kampung masih ditenggelami air


Sumber gambar: https://thethaiger.com/hot-news/weather/southern-thailand-flood-death-toll-24

09/12/2020 09:38 PM

NAKHON SI THAMMARAT (Selatan Thailand), 9 Dis — Meskipun cuaca semakin baik dan hujan sudah berhenti, namun terdapat 951 kampung di lima wilayah di selatan Thailand masih digenangi air berikutan fenomena banjir termenung.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand berkata kira-kira 254,000 keluarga di 32 daerah di lima wilayah – Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Trang dan Surat Thani masih terjejas berikutan air bertakung dan paras air masih tidak berubah.



Menurut kenyataan itu, Nakhon Si Thammarat, kawasan yang paling teruk dilanda banjir, terdapat 184,750 keluarga dari 375 kampung di 11 daerah masih terjejas berikutan air tidak mengalir ke mana-mana.

Di Phatthalung, sebanyak 46,284 keluarga terjejas, Songkhla (10, 474), Surat Thani (9, 252) dan Trang (3,741).

Sehingga hari ini, banjir besar di selatan Thailand akibat hujan monsun telah mengorbankan 29 nyawa termasuk 21 maut di Nakhon Si Thammarat, Phatthalung (tiga), Songkhla dan Surat Thani masing-masing dua maut serta Trang (seorang).

Bernama yang melakukan tinjauan di Kg Nong Chok di Surat Thani mendapati masih banyak rumah dan tanaman masih ditenggelami air.



Penduduk tempatan memberitahu tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu untuk air banjir surut sepenuhnya.

Selasa lepas, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang melakukan tinjauan di Nakhon Si Thammarat berkata pihak berkuasa akan menyediakan bantuan kepada mangsa banjir selain mempercepatkan proses pemulihan selepas banjir termasuk membaiki infrastruktur dan rumah yang rosak.

Selain itu, beliau berkata agensi dan jabatan berkaitan akan mempercepatkan usaha mengalirkan air banjir.

Banjir di selatan Thailand: Angka korban meningkat kepada 17 orang



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button