Orang yang beri, terima rasuah akan dibakar dalam api neraka – Hakim
09/12/2020 03:13 PM
SHAH ALAM, 9 Dis — “Orang yang beri dan terima rasuah akan dibakar dalam api neraka, jadi sentiasalah beringat dan saya juga ingatkan diri saya, kamu dan semua di dalam mahkamah ini,” demikian peringatan diberikan seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Rozilah Salleh berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM20,000 atau empat bulan penjara terhadap pegawai imigresen, Zalizi Ismail, 26, yang mengaku bersalah menerima wang tunai RM12,000 daripada seorang lelaki, minggu lepas.
Hakim itu turut menegur perbuatan tertuduh yang gagal menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan oleh Jabatan Imigresen untuk menjaga pintu masuk negara dengan melepaskan warga asing yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Saya nak kamu percaya dengan pengakuan salah kamu, kalau kamu dihukum di dunia saya doakan ia cukup sebagai kifarah untuk kamu di akhirat. Ada orang kena tangkap banyak kali masih tidak mengaku, ada bukti pun tidak mengaku dan kalau tidak kena tangkap kita rasa kita tidak salah,” katanya.
Sejurus prosiding berakhir, Zalizi dilihat menangis teresak-esak ketika dipeluk ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.
Tertuduh mengaku bersalah menerima wang tunai RM12,000 dengan tiada balasan daripada Chu Wing Kong yang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Bahagian Operasi KLIA, Jabatan Imigresen, iaitu mempercepatkan proses dua tahanan reman Jabatan Imigresen, Zhou Guifang dan Zhu Xiangliang, dilepaskan pulang ke negara China.
Zalizi melakukan kesalahan itu di dalam kafe di sebuah stesen minyak di klia2, Jalan KLIA, kira-kira 7.37 malam pada 2 Dis lepas dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua warga China itu ditahan ketika pemeriksaan imigresen di Balai Berlepas Aras 4 Bangunan MTB KLIA pada 29 Nov lepas, kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia dan mereka direman selama 14 hari hingga 12 Dis ini.
Tertuduh kemudian bertindak menghubungi Chu dengan meminta wang RM12,000 bagi tujuan mempercepatkan pelepasan kedua-dua warga China itu pulang ke China dalam tempoh dua minggu.
Terdahulu, Zalizi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara atas alasan dia telah insaf dan bertaubat atas kesalahannya serta memberi aku janji untuk tidak mengulangi kesalahan itu.
“Saya merayu saya tak nak masuk penjara kerana saya ada seorang anak berumur setahun dan perlu tanggung isteri tidak bekerja, ayah dan dua beradik yang masih belajar. Ini merupakan kesalahan pertama saya dan merayu supaya mahkamah kenakan denda sebulan gaji saya sebab saya baru kerja dengan gaji permulaan RM1,460,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab Wahab bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman dan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.
Menurut Fadhli, tertuduh berkhidmat tidak sampai dua tahun dengan Jabatan Imigresen tetapi telah terlibat dalam kesalahan rasuah melibatkan jumlah wang yang besar.
“Tertuduh telah diberi amanah dan tanggungjawab oleh Jabatan Imigresen untuk jaga pintu masuk keluar Malaysia, namun hari ini tertuduh telah langgar kepercayaan itu. Operasi besar-besaran melibatkan pegawai-pegawai Jabatan Imigresen yang jaga pintu masuk keluar Malaysia telah dilakukan oleh SPRM sejak beberapa minggu lepas dan mendapat liputan meluas media.
“Mohon hukuman penjara diberi kepada tertuduh bagi menghantar mesej kepada tertuduh supaya tidak lakukan kesalahan sama pada masa akan datang selain memberi peringatan kepada penjawat awam yang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.