Badan kebajikan Turki, Malaysia hantar bantuan ke Syria
KILIS (Turki), 10 Dis — Badan amal Turki dan Malaysia pada Rabu menghantar sejumlah 30 trak bantuan kemanusian ke kawasan utara Syria, wilayah yang sebelum ini dibebaskan daripada pengganas menerusi operasi tentera Turki, lapor Agensi Anadolu.
Mereka bertolak dari Turki dengan membawa makanan, selimut, arang dan dapur selepas majlis ringkas di sempadan wilayah Kilis.
Bantuan itu dikumpul oleh Yayasan Turkiye Diyanet dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
Berucap pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Diyanet, Ihsan Acik berkata mereka menjalankan pelbagai aktiviti kemanusiaan di Syria.
“Syukur kepada Allah, kami membuka sebuah sekolah hari ini dan turut membina kawasan penempatan besar,” katanya.
“Matlamat kami adalah untuk melakukan yang terbaik membantu saudara kami di Syria dan berharap konflik ini berakhir secepat mungkin,” tambahnya.
Syria dilanda perang saudara yang dahsyat sejak awal 2011 apabila rejim Bashar al-Assad melancarkan gerakan terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi, lalu mencetuskan keganasan.
Sejak itu, lebih lima juta orang awam kehilangan tempat tinggal.
Sejak 2016, Turki melancarkan tiga operasi antikeganasan di utara Syria dan berjaya menghalang pembentukan koridor pengganas dan mengembalikan keamanan kepada penduduk. Operasi terbabit adalah Euphrates Shield (2016), Olive Branch (2018), dan Peace Spring (2019).