Hamas tetap dengan pendirian tentang Israel
GAZA/RAMALLAH, 9 Dis — Pergerakan Hamas mengulangi komitmen mereka untuk terus berjuang dan menegakkan prinsip untuk tidak akan mengiktiraf Israel, lapor Agensi Berita Anadolu.
“Pada hari ulang tahun penubuhan, Hamas mengulangi komitmen untuk terus bersatu dan membela maruah rakyat Palestin, berjuang menentang penjajahan, tidak mengiktiraf Israel dan menentang projek bersama,” kata Ketua Pergerakan itu di luar negara, Maher Salah menerusi satu kenyataan.
Sambil menjelaskan bahawa Hamas komited untuk menyatukan semula Baitulmaqdis sebagai bandar raya Palestin dan menentang rancangan pembangunan oleh Yahudi ke atas Masjid Al-Aqsa, Salah berkata sekatan ke atas Gaza perlu dihentikan.
Beliau juga menegaskan kepentingan menentang pelan rampasan tanah di Tebing Barat dan penerusan kerja-kerja UNRWA, agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu pelarian Palestin.
Hamas ditubuhkan serentak dengan Intifada Pertama pada 1987 oleh pemimpin Pertubuhan Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) di Semenanjung Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, pertubuhan Membela Kanak-Kanak Palestin Antarabangsa (DCIP), sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkata, tentera Israel mengguna raifal Ruger 10/22 dan ramai kanak-kanak terbunuh akibat senjata itu.
Mangsa terbaru adalah Ali Abu Alia, 14, yang maut terkena tembakan raifal berkenaan, lapor DCIP sambil menegaskan, dakwaan Israel senjata itu tidak menyebabkan kematian adalah tidak benar.
Remaja Palestin itu ditembak dengan peluru hidup di perut ketika menyaksikan pertempuran antara tentera Israel dengan belia Palestin di kampung al-Mughayyir di timur laut Ramallah, menurut laporan diterima DCIP.
Menurut laporan pertubuhan undang-undang antarbangsa, lapan kanak-kanak Palestin berusia antara 13 hingga 17 tahun dibunuh tentera Israel sejak awal tahun.
China sokong perjuangan Palestin