Petunjuk positif penonton kembali ke stadium 2021
11/12/2020 02:33 AM
PETALING JAYA, 10 Dis — Kerinduan peminat bola sepak tanah air untuk kembali bersorak di stadium dan merasai kehangatan saingan Liga Malaysia (Liga-M) bakal terubat menjelang musim 2021.
Ia selepas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam konteks norma baharu yang akan diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengambil kira acara sukan dengan kehadiran penonton.
Menurut Reezal Merican, perkembangan menggembirakan itu turut melibatkan kesemua acara sukan, namun ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang bakal ditetapkan.
“Kalendar sukan 2021 tidak seharusnya menghadapi ‘butang henti’ lagi kerana rakyat akan hadapi cabaran. Suka atau tidak, kita akan hidup dengan COVID-19 dan ia tidak akan hilang.
“Kita sudah kemukakan (kehadiran penonton ke stadium) dan ia dalam pertimbangan dan saya nampak ada petunjuk kalendar sukan 2021 akan menyaksikan aktiviti dan kegiatan sukan kembali aktif,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Skuad Projek FAM-MSN di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, hari ini.
Jelas beliau, perkara itu sedikit sebanyak akan memberi industri sukan ruang untuk kembali bernafas lebih baik selepas terjejas sepanjang tahun susulan penularan COVID-19.
Semalam, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan satu SOP baharu sedang dirangka untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium dengan jumlah tidak melebihi 10 peratus daripada kapasiti sesebuah stadium.
“Berita gembira, SOP sedang dibuat. Akan datang, bola sepak akan kembali kali ini dengan penyokong 10 peratus daripada kapasiti stadium,” kata Tunku Ismail dalam laman Instagram miliknya.
Olimpik Tokyo tolak kemungkinan acara dilangsungkan tanpa penonton