Karamjit Singh rayu bantuan kewangan untuk kembali sertai APRC 2021


Karamjit Singh

11/12/2020 02:30 AM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Pelumba rali negara, Karamjit Singh berharap dapat kembali bersaing pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) musim hadapan selepas mengambil keputusan untuk berhenti pada 2012 susulan kekangan kewangan yang dihadapinya.

Pelumba berusia 58 tahun itu berkata beliau sudah berjaya mendapatkan Proton Iriz yang telah diubah suai di England, namun masih memerlukan penajaan bagi menampung kos penukaran alat ganti, tiket kapal terbang dan penginapan sepanjang menyertai lapan pusingan perlumbaan APRC musim hadapan.



Olahragawan Kebangsaan 2002 yang dikenali dengan julukan ‘The Flying Sikh’ itu memaklumkan beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta semusim untuk menampung kesemua kos berkenaan.

“Pada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) di Parlimen hari ini, beliau berjanji akan berusaha membantu saya mendapatkan penajaan (kewangan) untuk menyertai APRC tahun hadapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Karamjit yang pernah menjuarai kategori pemandu APRC pada 2002 dan 2004 mendakwa beliau sudah mengeluarkan duit poket sendiri lebih RM1 juta, termasuk menjual tiga buah kereta miliknya selain menggunakan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung penglibatannya dalam APRC.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, yang turut menyertai perjumpaan dengan Reezal Merican di bangunan Parlimen hari ini, berharap syarikat korporat di negara ini dapat membantu Karamjit dalam merealisasikan impiannya untuk kembali semula dalam saingan APRC.



Menurut beliau YAKEB sukar untuk memberi bantuan kepada Karamjit memandangkan mereka hanya memberi bantuan kepada bekas atlet yang pernah terlibat dalam mana-mana temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA.

Sehubungan itu, Noorul Ariffin menegaskan beliau akan mengadakan perjumpaan dengan wakil Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) dalam tempoh terdekat bagi mewujudkan satu mekanisme khas bagi membantu bekas atlet negara yang terlibat dalam sukan permotoran dua dan empat roda.

Kisah Karamjit sebelum ini tular di media sosial selepas beliau menjual kereta Proton Waja kesayangannya pada harga RM17,000 sebagai modal membeli kereta baharu untuk bekerja sebagai pemandu Grab bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bekas pengadil FIFA Jaswant Singh meninggal dunia



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button