TEMUI PENGGANTI, BAKAL BERKAHWIN – SHEERA ISKANDAR BUKA MULUT ELAK FITNAH
Pelakon Sheera Iskandar telah tampil menjawab mengenai status terkininya kepada umum apabila mengesahkan rumah tangga yang dibina dengan Abdullah Harun, 36, sejak Ogos 2015 sudah berakhir pada hujung 2018.
“Sudah sampai masanya untuk kami disatukan (berkahwin). Jadi wajarlah saya buka mulut bercerita untuk mengelakkan fitnah. Saya bukan sengaja nak merahsiakan perkara ini. Ketika mengulas desas-desus penceraian kepada Harian Metro sebelum ini, saya masih dalam tempoh edah.
“Jadi saya berbelah-bahagi untuk cakap perkara sebenar kerana bimbang kami akan rujuk semula. Memang saya janji akan ceritakan perkara sebenar kepada media apabila tiba masanya.
“Tapi takkanlah saya nak cari media semata-mata untuk jelaskan hal sebenar. Saya tengah ‘down’ ketika itu dan tak nak mulut-mulut warganet akan buat saya terus ‘down’,” kata Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 35.
Klik untuk gambar besar
Pelakon ‘Gerak Khas’ ini mengakui hubungan dengan bekas suami masih baik tanpa sebarang masalah: “Perkara sudah berlalu dan saya enggan kenang lagi. Saya juga bersyukur rakan-rakan dalam Gerak Khas memahami dan sentiasa memberikan sokongan moral buat saya.
“Berkenaan bakal suami, hubungan kami berlangsung secara jarak jauh kerana dia anggota polis dan bertugas di Sabah. Dia okay, begitu juga keluarganya dapat terima saya seadanya. Buat masa ini saya belum mahu mengulas lanjut. Tunggulah masanya saya akan umumkan,” ujarnya yang tidak memberikan tarikh tepat memandangkan Covid-19 masih serius di Sabah.
Sheera mengakui tidak menyangka pertemuan ketika penggambaran ‘Gerak Khas’ bakal menyatukan mereka: “Disebabkan ‘Gerak Khas’ kami berjumpa. Tak sangka kerana siri ‘Gerak Khas’ akan berakhir tahun ini dan saya kena ‘gantung’ uniform sebagai Inspektor Sheera. Selepas ini saya kena jaga uniform bakal suami pula.
“Saya selesa berkawan dengan dia dan bukan pilih pada kedudukan. Ia soal hati dan perasaan sayang. Tak kiralah apa pangkatnya. Yang paling buat saya terharu ialah keluarganya tidak melihat saya sebagai janda dan bertanya kisah silam saya,” tuturnya.
Sheera yang juga anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid berkata, dia tidak menyangka bakal suaminya memulakan salam perkenalan sedangkan dia merahsiakan statusnya.
“Saya tak pernah bercerita status saya di laman sosial. Tak pastilah macamana dia dapat tahu perkara ini. Dia ‘follow’ saya di Instagram dan saya anggap dia sebagai peminat biasa,” katanya.
‘GERAK KHAS THE FINALE’ DI TV3 BUKAN RTM – YUSOF HASLAM ‘KUNCI MULUT’