Pegawai imigresen hadapi 17 tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai imigresen Gred KP19 didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 17 pertuduhan menerima rasuah RM20,000 bagi membantu melepaskan warga asing keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Mohd Al Ridhuan Ahmad Zaini, 35, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Al Ridhuan didakwa menerima wang berjumlah RM21,500 daripada Nur Amanina Maulad Adnan melalui akaun Maybank dan CIMB Bank ke akaun Bank Muamalat milik Syarikat Entiti Maju Enterprise milik Nur Natasha Andrew yang juga isterinya.



Ia sebagai upah membantu melepaskan warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) keluar dari Malaysia melalui pintu keluar udara klia2 tanpa diambil tindakan undang-undang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kesalahan serius.

“Cara tertuduh melakukan kesalahan itu adalah cara pengkhianat kepada negara. Sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan antaranya melapor diri setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi kes serta menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.



Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Harcharanjit Singh memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 dengan alasan mempunyai tiga anak kecil dan isterinya mempunyai masalah kesihatan.

“Tertuduh direman lapan hari di Mahkamah Shah Alam dan pada hari kesembilan dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk disambung reman, namun ditolak.

“Ada tujuh perintah menghadiri pemeriksaan di Ibu Pejabat SPRM dan dia hadir sendiri untuk memberi kerjasama penuh,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dikemukakan pendakwaan dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes.



Sementara itu, seorang penjual kain warga Pakistan, dipenjara 30 hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM12,500 kepada Pegawai Imigresen di Unit Kawalan Pintu Masuk Udara di Pejabat Imigren KLIA.

Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Irfan, 34, menjalani tambahan hukuman penjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Irfan didakwa memberi suapan kepada Muhammad Faizal Ahmad sebagai upah membantu melepaskan 20 warga Pakistan dan seroang warga Bangladesh pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang bagi kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Presint 8, Putrajaya, antara jam 3.25 petang hingga 3.32 petang, pada 16 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.



Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung keluarga dan baru mendapat bayi dua hari lalu serta urusan kelahiran anak belum dibuat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, membantah rayuan dan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda bagi mencerminkan keseriusan kes.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, lelaki warga Bangladesh, Ahmmed Md Rana, 37, didakwa memberi rasuah RM8,500 kepada individu sama sebagai upah membantu melepaskan lapan rakan senegaranya pulang ke negara asal tanpa diambil tindakan undang-undang, bulan lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan di tempat sama, antara jam 6.10 petang hingga 6.15 petang, pada 16 November lalu dan didakwa mengikut seksyen sama.



Tiada pengakuan direkodkan berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes dan kehadiran jurubahasa Bangladesh.

Ketiga-tiga tertuduh antara 65 individu yang ditahan SPRM dalam Ops Selat.

Bekas kontraktor didakwa merompak selepas hadapi tuduhan menipu



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button