Dua ditahan polis, campak wang dalam kereta peronda


ACP Arifai Tarawe (Gambar fail)

13/12/2020 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Tindakan dua lelaki warga Indonesia mencampakkan sejumlah wang ke dalam kenderaan Cawangan Kereta Peronda (MPV) bagi mengelak daripada dikenakan tindakan dalam satu pemeriksaan semalam, membawa padah apabila kedua-duanya ditahan kerana cuba merasuah pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 50 tahun terbabit ditahan oleh sebuah MPV yang melakukan rondaan rutin di Km14 Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang pada 7.35 pagi.



“Dua lelaki berkenaan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum memecut laju namun berjaya ditahan oleh MPV terbabit.

“Ketika diperiksa, kedua-duanya gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan sah. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM170,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberi rasuah kepada anggota bertugas.

“Suspek yang diberi amaran agar tidak berbuat demikian kemudian bertindak mencampak wang tersebut ke dalam kereta peronda, menyebabkan mereka ditangkap atas kesalahan cuba memberi rasuah selain tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.



Arifai berkata mereka kini direman selama 14 hari hingga 25 Dis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Lelaki Larikan Kereta Peronda Polis Didakwa 6 Pertuduhan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button