Influenza Boleh Membawa Maut, Jangan Ambil Mudah
Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR (Bernama) — Meskipun banyak mendengar tentang bahaya influenza serta peningkatan kes terutamanya di Selangor sekitar akhir 2019 dan awal 2020, namun Hairi Zolhaini masih tidak mendapatkan suntikan vaksin penyakit itu.
Isteri dan empat orang anaknya juga tidak berbuat demikian.
“Pihak sekolah juga sering mengingatkan ibu bapa tentang bahaya influenza kepada kanak-kanak. Kami bukan anti vaksin, cuma saya yakin kami tak akan kena penyakit itu, ” demikian kata Hairi, 37, yang menetap di Bangi bersama keluarganya.
Beliau membuat kenyataan ini ketika mengimbau kembali pengalaman getir apabila anak keduanya yang berumur 8 tahun, Qaleef Iman Rayyan Hairi disahkan menghidap influenza A pada awal Januari 2020.
Anaknya sebelum itu menghidap demam panas yang tidak kebah selepas beberapa hari walaupun setelah berjumpa doktor, malah keadaan Qaleef Iman Rayyan semakin tidak bermaya.
“Ingat dia demam biasa. Sudah bawa ke klinik dan doktor ada buat ‘nasal swab’ (sampel cecair hidung) kerana ketika itu kecoh dengan influenza tapi keputusan tidak ada penyakit itu.
“Bagaimanapun, keadaan anak semakin teruk menyebabkan keesokannya terus bawa dia ke hospital. Hasil ujian ‘nasal swab viral PCR’ (Polymerase chain reaction) memang anak saya menghidap influeza A,” katanya kepada Bernama.
Biarpun terkejut, namun pekerja sambilan (pengurusan acara) ini bersyukur kerana anaknya diberi rawatan segera menggunakan ubat anti-viral Oseltamivir sekali gus mengelak berlakunya komplikasi serius akibat penyakit itu sehingga boleh meragut nyawa sekiranya lambat dirawat.
“Keyakinan anak tidak akan kena influenza akhirnya memakan diri. Kami sekeluarga mula menyedari akan kepentingan suntikan vaksin dan saya juga tidak lupa menasihatkan rakan, saudara untuk ambil suntikan vaksin influenza sebagai pencegahan,” katanya, yang menambah beliau, isteri dan tiga orang anaknya yang lain kemudiannya mengambil suntikan vaksin influenza.
MUNGKINKAH PENINGKATAN?
Hakikatnya, sejak akhir Disember 2019 dan awal tahun 2020, Malaysia mencatatkan peningkatan kes penularan penyakit berkaitan serangan virus influenza pada saluran pernafasan manusia iaitu influenza A di beberapa buah negeri dengan kebanyakannya melibatkan pelajar, murid sekolah dan Qaleef Iman Rayyan merupakan antara seorang daripadanya.
Peningkatan yang difahamkan lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya itu dengan negeri Selangor mencatatkan bilangan kes lebih tinggi berbanding negeri lain apabila dilaporkan jumlah pelajar sekolah dijangkiti influenza melebihi 800 pelajar selain dua buah sekolah di Perak dan Sabah ditutup, sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan kalangan ibu bapa.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media pada awal Januari 2020 turut mengesahkan peningkatan tersebut berdasarkan survelan influenza makmal yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.
Beliau dipetik sebagai berkata, analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI) daripada lokasi sentinel seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Dis 2019.
(Untuk pemahaman, terma ILI berdasarkan ‘Malaysia Influenza Surveillance Protocol’, KKM, didefinisikan sebagai milder disease presented and managed in the primary care/out-patient setting. While for SARI, is provided for use in the in-patient hospital settings).
Malah, kes saringan ILI dan SARI yang dilaporkan pusat survelan Malaysia kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menunjukkan kes positif influenza yang mendadak pada tahun 2019 adalah 21.2 peratus dan suku pertama 2020 adalah 32.8 peratus.
Peratusan ini adalah lebih tinggi berbanding tiga tahun sebelumnya iaitu 10.4 peratus pada tahun 2018, 13.3 peratus (tahun 2017) dan 8.6 peratus (tahun 2016). Namun begitu, biarpun berlakunya peningkatan, Dr Noor Hisham dipetik sebagai berkata, ia berada dalam keadaan terkawal.
KES MUNGKIN MENINGKAT DISEMBER
Dua orang pengamal perubatan yang turut ditemu bual oleh Bernama berpandangan, penularan influenza di negara rantau tropika seperti Malaysia walaupun berlaku sepanjang tahun, tetapi berdasarkan data aktiviti survelan kadar konsultasi kes ILI dan SARI, terdapat corak peningkatan pada bulan April hingga Jun dan berikutnya Oktober hingga Januari.
Memandangkan, kita berada pada akhir tahun 2020 serta bersandarkan data sebelum ini yang menunjukkan berlakunya peningkatan kes influenza semasa akhir tahun, timbul persoalan apakah akhir tahun ini akan turut berhadapan sedemikian rupa?
Apakah mungkin terdapatnya peningkatan kes influenza pada Disember ini sepertimana tahun sebelumnya yang menunjukkan berlakunya peningkatan penyakit tersebut pada akhir dan awal tahun?
Hal ini perlu dirungkaikan memandangkan simptom dan cara penyebaran influenza dan juga COVID-19 adalah sama iaitu – demam selesema, kelesuan, sakit tekak serta merebak melalui titisan saluran pernafasan apabila bercakap, batuk, bersin mahupun menggosok mata, hidung setelah memegang mana-mana permukaan yang dicemari virus berkenaan.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, kemungkinan besar tidak berlaku peningkatan kes penyakit influenza pada Disember 2020 seperti tahun sebelumnya.
Malah, beliau yang juga merupakan Ketua Unit Kawalan Penyakit Berjangkit di hospital berkenaan turut menjangkakan trend penyakit influenza pada bulan ini akan menurun.
“Untuk mengetahui keadaan flu bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia, kita harus melihat kepada data yang terdapat di FluNet. Berasaskan data yang terdapat di FluNet, trend penyakit influenza di Malaysia menunjukkan berlakunya penurunan dan mendatar.
“Dan jika trend ini berterusan, saya berpendapat tidak akan berlakunya peningkatan influenza pada Dis 2020,” katanya kepada Bernama.
Untuk pengetahuan, statistik sebenar penyakit influenza tidak dapat dinyatakan memandangkan ia tidak termasuk di bawah senarai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan/notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Biarpun demikian, KKM sentiasa memantau trend aktiviti influenza dan kejadian wabak berkaitan dengannya menerusi sistem pelaporan sedia ada daripada lokasi sentinel yang telah dikenal pasti di seluruh negara. Data survelan tersebut turut dihantar ke WHO untuk tujuan perkembangan semasa penyakit influenza yang dipaparkan menerusi FluNet.
FluNet adalah alat berasaskan web untuk pengawasan virologi influenza yang buat pertama kalinya dilancar pada 1997. Data di peringkat negara boleh diperolehi untuk orang awam dan dikemaskini setiap minggu.
Menurut Dr Musa, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada jangkaan berlakunya penurunan serta mendatar kes penyakit influenza pada Disember ini dan sebab paling utama adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
PEMATUHAN SOP
“SOP yang antaranya melibatkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sentiasa basuh tangan, bukan sahaja merencatkan penularan COVID-19 tetapi juga penyakit lain yang merebak melalui titisan yang terinfeksi pada salur pernafasan apabila bercakap, batuk atau bersin iaitu influenza, radang paru-paru dan sebagainya.
“Selain itu, banyak institusi yang ditutup seperti pejabat, universiti, sekolah, taman asuhan kanak-kanak dan lain-lain. Langkah ini membantu untuk menyekat merebaknya virus influenza. Kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini juga ada sedikit meningkat selain peningkatan suntikan vaksin influenza, ” jelas Dr Musa.
Beliau turut yakin sekiranya patuh kepada SOP COVID-19, dan sedar akan kepentingan vaksin influenza, kerajaan mampu mendatarkan kes influenza negara.
“Usaha ini boleh mencegah berlakunya ‘twindemik’ iaitu kes berkembar pandemik COVID-19 dan influenza,” tambahnya.
Jangkaan penurunan influenza ini bukan hanya di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia berdasarkan kepada data di laman sesawang WHO sehingga 8 Nov 2020. Di peringkat global, meskipun terdapat peningkatan saringan untuk influenza di sesetengah negara, kes penyakit itu masih di paras rendah daripada yang dijangkakan akan berlaku pada ketika ini.
Biarpun trend kes influenza dijangka menurun, Dr Musa mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil remeh mengenainya berikutan kesedaran orang ramai terhadap penyakit itu masih lagi belum ditahap memuaskan.
Ini kerana, masih ada yang keliru antara demam selesema biasa mahupun influenza yang juga dikenali sebagai flu berikutan simptomnya hampir sama antara satu sama lain seperti demam, batuk dan selesema.
KOMPLIKASI
Walhal, dua penyakit itu berbeza sama sekali di mana demam selesema biasa tidak membawa maut berbanding mereka dijangkiti influenza akan mengalami demam lebih teruk serta berisiko mendapat pelbagai komplikasi sekiranya lambat menerima rawatan.
Komplikasi inilah yang menakutkan sekiranya influenza menyerang golongan berisiko seperti bayi dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, wanita hamil, individu yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti lelah, kanser, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan warga emas berusia lebih 65 tahun.
Golongan tersebut berisiko mengalami komplikasi influenza berbahaya berikutan sistem imun yang lemah seperti radang paru-paru, meningitis dan serangan asma yang berisiko menyebabkan kematian jika lambat dirawat.
“Risiko wanita hamil dijangkiti influenza adalah lima kali ganda untuk dimasukkan ke hospital berbanding mereka yang tidak mengandung. Malah, ia juga meningkatkan risiko ibu mengandung melahirkan anak pramatang dan mengalami keguguran,” katanya.
Setiap tahun, WHO menganggarkan 290,000 dan 650,000 orang di seluruh dunia mati akibat masalah pernafasan yang disebabkan oleh influenza.
Menurut Pengerusi Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG), Prof Dr Zamberi Sekawi, majoriti yang maut akibat influenza adalah warga emas dan kerana itu penyakit ini tidak boleh dipandang ringan.
Hakikatnya, influenza boleh dicegah melalui vaksin tetapi masih ramai individu berisiko tinggi mahupun yang tiada masalah kesihatan tidak berbuat demikian.
Difahamkan, hanya dua peratus rakyat Malaysia yang mengambil suntikan vaksin ini.
Selain kurang kesedaran, agak menyedihkan apabila masih ada lagi beranggapan bahawa influenza merupakan penyakit musim sejuk di negara mengalami empat musim.
“Sebaik-baiknya semua masyarakat mengambil suntikan vaksin influenza dan bukannya hanya golongan berisiko. Selain melindungi diri daripada influenza, ia juga membantu kakitangan kesihatan membezakan sama ada individu bergejala mengalami COVID-19 ataupun influenza berikutan simptomnya hampir sama.
“Vaksin influenza disarankan diambil setiap tahun kerana virus itu sentiasa bermutasi sekali gus menyebabkan vaksin sebelum ini tidak sesuai lagi pada waktu semasa,” katanya.
Sementara itu, Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin berkata, buat masa ini, pencegahan melalui vaksin adalah langkah terbaik memandangkan rawatan influenza menggunakan ubat anti-viral Oseltamivir hanya berkesan sekiranya diambil segera dalam tempoh 48 jam selepas seseorang itu dijangkiti influenza.
“Dibimbangi mereka dijangkiti influenza lambat dapatkan rawatan disebabkan keliru sama ada demam selesema biasa ataupun influenza sekali gus terdedah kepada komplikasi serius akibat penyakit itu,” katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA
#Kesihatan #Rencana
Lebih 70 peratus kematian kes COVID-19 di Malaysia hidap penyakit lain – Pakar