Somalia umum putuskan hubungan diplomatik dengan Kenya
15/12/2020 05:42 PM
GAROWE (Somalia), 15 Dis — Somalia pada Selasa memutuskan hubungan diplomatik dengan negara jirannya Kenya, kerana menuduh negara itu melanggar kedaulatan dan integriti wilayahnya.
Memetik ucapan Menteri Penerangan Somalia Osman Dube, yang disiarkan televsiyen, beliau berkata Somalia memanggil pulang semua diplomatnya di Kenya, sementara diplomat Kenya di Somalia pula diarahkan meninggalkan negara itu dalam tempoh tujuh hari, lapor Agensi Anadolu.
“Somalia mengambil keputusan itu berikutan campur tangan terang-terangan oleh Kenya dalam urusan dalaman Somalia. Kepemimpinan Kenya ketika ini acap kali mahu menimbulkan masalah di Somalia,” kata Dube.
Bagaimanapun, Kenya menyangkal tuduhan Somalia.
November lalu, Somalia mengusir Duta Kenya dan memanggil pulang dutanya dari Kenya.
Keputusan terbaru itu diambil sehari selepas Presiden Somaliland Muse Bihi Abdi, mengunjungi Kenya dan bertemu Presiden Uhuru Kenyatta di Nairobi.
Hubungan Kenya dan Somalia retak rentetan peningkatan ketegangan yang berpunca daripada isu keselamatan dan perbalahan sempadan maritim.