DATUK HATTAN KOMEN ISU PEMILIHAN: “KALAU DAH BEGITU, TAK PAYAH BERTANDING…”
“Azmeer kata ada lagu yang tak sesuai untuk pertandingan. Kalau dah dikategorikan begitu, tak payahlah bagi lagu ini masuk bertanding dari awal. Banyak perkara baharu berlaku dalam muzik sekarang. Malah anak saya sendiri, Adam kata masa saya sudah berakhir. Saya pun mengakui kata-katanya. Kita kenalah hormat.
“Macam lagu Yonnyboii, penjiwaan yang hebat menerusi lagu ‘Sakit’ wajar dihormati. Sekarang bukan lagi zaman menyanyi lagu nada tinggi atau rendah. Saya amat terkejut apabila Sakit gagal ke AJL35 kerana masih ada juri berfikiran cara lama.
“Kenalah bagi ruang untuk bakat baharu berkarya,” ujar penyanyi Datuk Hattan yang mengakui kecewa dengan pemilihan senarai lagu ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) dan meminta barisan juri Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) berfikir di luar kotak dalam penjurian mereka.
Hattan berkata, semua orang kini berada dalam dunia baharu dan perlu mengetahui berkenaan revolusi muzik yang berlaku di seluruh dunia. Berkenaan lagu ‘Sembah’ nyanyian Naim Daniel yang disebut-sebut bakal ke AJL35 namun gagal, Hattan meminta Azmeer menikmati lagu itu tanpa gitar dan menghayatinya.
Klik untuk gambar besar
“Itu cara ‘marketing’ Naim Daniel dan Azmeer kena fikir tujuannya untuk tarik orang lama sukakan lagu itu. Saya nampak Azmeer lebih utamakan lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ sedangkan lagunya biasa saja.
“Saya lihat kenyataan Azmeer berkenaan penjurian amat kurang sesuai. Ada lagu yang terpilih tiada apa-apa kelainan sedangkan peminat nak sesuatu yang segar. Lagu ‘Sakit’ adalah sesuatu yang segar dan patut diketengahkan lagi. Penjiwaan Yonnyboii yang mengaku kesalahannya sangat ‘soul’,” katanya.
Menurut Hattan, Yonnyboii tidak perlu menyanyikannya dengan nada tinggi, tetapi melodi dan lirik mendalam dan berkesan dihati pendengar: “Saya lihat juri nak pilih lagu yang menjerit-jerit sedangkan zaman itu sudah berlalu. Industri muzik kita sepatutnya perlu bergerak ke hadapan dan bukan mundur ke belakang atau berada di takuk lama,” katanya.
Terdahulu, ketua juri SFMM35, Azmeer menjelaskan terdapat beberapa kesalahan kecil menjadi punca beberapa lagu yang dijangka melangkah ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) tidak layak bertanding di pentas akhir itu. Azmeer berkata, walaupun semua lagu yang bertanding di SFMM35 dianggap karya terbaik, namun ada kekurangan ketika pemarkahan dibuat.
‘Penyanyi, pemuzik pun nak cari makan’ – Hattan