‘Penyanyi, pemuzik pun nak cari makan’ – Hattan

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus memberikan perhatian sama kepada golongan penyanyi dan pemuzik apabila penggiat seni drama, filem serta iklan diberi kebenaran memulakan kerja penggambaran bermula 10 Jun ini.

Penyanyi lagu Biso Benar, Datuk Hattan berharap, golongan penyanyi dan pemuzik tidak dipinggirkan, memandangkan mereka turut terjejas teruk berikutan tiada punca pendapatan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak beberapa bulan.

Hattan menyuarakan isi hatinya menerusi laman Facebook (FB) dengan menulis, ‘Kalau sampai Disember persembahan semua tak boleh, kasihanlah kepada penyanyi dan pemuzik, mereka nak makan apa ya? Kerajaan tolong fikirkan kami juga.”

Katanya, luahan hatinya mewakili suara teman seperjuangan berharap pertimbangan sama dapat diberikan kepada golongan penyanyi dan pemuzik.

“Penyanyi dan pemuzik pun nak cari makan. Kita bukan nak meminta duit atau apa-apa, cuma mahu peluang kerja seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang betul. Dengan peluang pekerjaan inilah, dapat mencari rezeki menampung hidup.

“Kami tidak kisah mematuhi SOP seperti yang digariskan kepada penggiat seni. Kami hanya ingin mencari rezeki, maklumlah sudah berbulan pendapatan terputus.

“Golongan penyanyi dan pemuzik faham kerajaan perlu menguruskan banyak perkara. Namun, pasti ada cara untuk kami meneruskan survival seni. Contohnya, pemuzik jalanan boleh menghiburkan orang ramai di kafe atau lokasi tertentu mengikut SOP. Jadi, saya harap kerajaan tidak terlepas pandang golongan kami,” katanya ketika dihubungi kepada BH Online.

Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin menyifatkan stesen televisyen (TV) dan radio hanya bersifat selektif dengan memilih penyanyi tertentu sahaja diundang membuat persembahan.

“Ada yang saya tengok program dalam talian anjuran pihak tertentu dibuat hanya ditonton ratusan orang sahaja. Lebih baik membuat persembahan dalam talian sendiri tanpa membabitkan pihak tertentu,” katanya.

Sebagai golongan seni, Hattan mengakui, situasi getir sekarang mencabar fizikal dan mental semua pihak.

“Jangan fikir artis ada bakat berniaga dalam talian sahaja. Belum tentu semua boleh berniaga. Saya sendiri bersedih dengan kesukaran teman lain.

“Jika golongan penggiat seni ada persatuan untuk bersuara demi hak dan perjuangan. Golongan penyanyi dan pemuzik pula seperti tidak dipandang dan dibela mana-mana pihak,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker