Kanada, AS meterai perjanjian hantar angkasawan mengelilingi bulan
Pix source: Canadian Space Agency websites
17/12/2020 12:34 PM
OTTAWA, 17 Dis — Kanada telah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) untuk menghantar angkasawan mengelilingi bulan pada 2023, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Menteri Inovasi, Sains dan Industri Kanada Navdeep Bains, pada Rabu.
Pada sidang media video, Bains melancarkan Perjanjian Gateway, mengenai penglibatan rasmi Kanada dalam usaha yang dipimpin AS untuk membina sebuah stesen angkasa antarabangsa baharu di atas permukaan bulan untuk membolehkan eksplorasi dan misi masa depan ke Marikh.
Perjanjian itu merangkumi komitmen untuk melibatkan warga Kanada ketika AS melakukan penerbangan ke bulan pada 2023, serta penerbangan kedua ke stesen masa depan. Ia tidak termasuk pendaratan di bulan.
“Dilancarkan pada 2023, angkasawan Agensi Angkasa Kanada akan menyertai Artemis 2, misi pertama untuk membawa manusia ke orbit bulan selepas lebih 50 tahun. Ini akan menjadikan Kanada sebagai negara kedua selepas AS yang mempunyai angkasawan di angkasa lepas, ” Bains memberitahu sidang media bersama beberapa angkasawan Agensi Angkasa Kanada.
Di bawah perjanjian itu, Kanada akan menyumbang lengan robotik baharu untuk membantu pembinaan Lunar Gateway, yang akan mengorbit bulan dan membolehkan penerokaan permukaan bulan dan membantu misi masa depan ke Marikh.
Bains tidak menyatakan jumlah kos yang perlu ditanggung Kanada untuk menyertai penerbangan Artemis 2, yang akan mengikuti penerbangan tanpa pemandu ke bulan yang dijadualkan AS tahun depan.
Awal bulan ini, Kanada memberikan C$22.8 juta (US$17.88 juta) untuk fasa pertama mengembangkan Canadarm 3, lengan robotik baharu yang akan digunakan di stesen bulan.
“Penting untuk saya nyatakan bahawa kita adalah negara angkasa lepas, dan amat berbangga dengan sejarah angkasa kita,” kata menteri Kanada itu. “Dan pelaburan ini berkaitan dengan program Artemis 2, serta strategi keseluruhan angkasa lebih C$2 bilion selama 24 tahun ke depan.”
Agensi Angkasa Kanada adalah antara beberapa rakan kongsi dalam usaha yang dipimpin AS bersama dengan Agensi Angkasa Eropah dan Jepun.
UAE lancar satelit Falcon Eye 2 ke angkasa