Kapten Hoki India Kahwini Gadis Malaysia
Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique, hari ini.
Pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu.
Manpreet (kanan) dan isterinya, Illi Najwa. FOTO IG illisaddique
Majlis resepsi perkahwinan diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.
Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.
Majlis yang ringkas dan meriah itu dihadiri keluarga, saudara mara, pemain pasukan kebangsaan, pengurusan dan tetamu jemputan.
Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19.
Difahamkan Illi Najwa, 27, berjaya mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi seterusnya meneruskan perjalanan ke kampung halaman Manpreet.
Sumber dalaman Persekutuan Hoki Antarabangsa mengesahkan bahawa Illi Najwa melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember untuk bersama kekasihnya.
“Ketika sekatan perjalanan antara India dan Malaysia kembali reda baru-baru ini, dia berjaya mendapatkan penerbangan ke New Delhi selepas mematuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan,” menurut sumber itu.
Pasangan itu pada awalnya merancang majlis perkahwinan mereka pada 30 Disember serentak sambutan hari lahir Illi Najwa namun akhirnya memilih 2 Disember atau 02/12/20 apabila dihitung akan berakhir dengan tujuh serta membawa makna nombor jersi yang dipakai Manpreet.
Illi Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di Malaysia dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.
Ibunya, Masita pernah bermain hoki mewakili Angkatan Tentera Malaysia.
Manpreet kali pertama bertemu Illi Najwa yang menyaksikan perlawanan ketika dia mengetuai pasukan remaja India pada saingan Piala Sultan Johor 2012.
Difahamkan mereka kerap berhubung apabila Manpreet kembali mengetuai pasukan kebangsaan India pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.
“Manpreet tertarik dengan kecantikan dan tingkah laku sopan Illi Najwa, ketika dia menikmati hidangan capati di rumah keluarga wanita itu pada tarikh kedua mereka bertemu.”
Manpreet dilahirkan pada 26 Jun 1992 dilantik sebagai kapten India sejak Mei 2017.
Pemain yang beraksi di barisan pertahanan itu melakukan penampilan pertama untuk pasukan India pada 2011 ketika berusia 19 tahun dan dinamakan Pemain Remaja Terbaik Asia pada 2014.-HM