AKSI MEMARUT KELAPA DIKRITIK ‘LUCAH’ – SHUIB MOHON MAAF, TAK ADA MAKSUD APA-APA
“Minggu lepas di Sepahtu Reunion pada hari Khamis, ada satu babak saya buat memarut kelapa. Babak itu jadi kontroversi pula. Jadi, di sini saya dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada mereka yang terasa hati dan rasa babak itu tidak patut dilakukan.
“Sebenarnya saya nak beritahu, ikhlas dari hati saya ketika saya melakukan babak itu tak ada bawa maksud apa-apa… tak ada pergi ke lucah. Saya hanya nak buat orang ketawa sahaja, tak ada niat apa-apa,” demikianlah kata pelawak Shuib Sepahtu.
Shuib melakukan babak sedang memarut kelapa dalam program Sepahtu Reunion Live 2020 pada Khamis lalu menerima kritikan pelbagai pihak apabila dianggap lucah dan menjijikkan.
Enggan isu berpanjangan, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad tampil menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk menggambarkan perbuatan tidak senonoh.
Klik untuk gambar besar
Shuib yang berusia 36 tahun ini berkata, dia hanya ingin membuat penonton ketawa namun tetap memohon maaf kepada pihak yang tersinggung dengan aksi tersebut.
Suami kepada penyanyi Siti Sarah itu memuat naik video menjelaskan perkara itu dan memohon maaf kepada semua pihak menerusi laman Instagram miliknya pada Sabtu.
Rata-rata netizen di ruang komen tersebut berpendapat lawak Shuib itu bukan sesuatu isu yang perlu diperbesarkan memandangkan ia dilakukan secara spontan tanpa perlu berfikiran secara negatif.
Sebelum ini, pendakwah bebas iaitu Akhi Fairuz Al-Jengkawi meluahkan rasa kurang senang dengan aksi tersebut yang dilihat seperti melakukan perbuatan lucah dan memalukan dalam sebuah program yang ditonton seisi keluarga.
Dalam pada itu, penyampai radio Hot FM ini sekali lagi memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut di masa akan datang.
“Tapi itulah… kalau katakan la video itu buat orang terasa hati, saya minta maaf sangat. Insya-Allah saya tak akan buat lagi benda macam itu. Semoga terus sokong Sepahtu Reunion,” ujarnya.