Hilang kawalan selepas memotong, penuntut kolej maut

Oleh – Syeikh Baran


Hilang kawalan selepas memotong, penuntut kolej maut
Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer (km) 458.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, Petaling Jaya, kelmarin.

Seorang remaja perempuan maut apabila tercampak keluar dari kereta dinaikinya dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 458.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, kemalangan pada pukul 8.40 malam itu berlaku ketika pelajar kolej swasta berusia 18 tahun tersebut menaiki sebuah kereta bersama dua rakan menuju ke arah Sungai Buloh dari Subang.



“Ketika kejadian, kereta jenis Honda City dinaiki mangsa bersama dua individu yang juga pelajar kolej swasta hilang kawalan ketika cuba memotong kereta jenis Toyota Vios.

“Honda City berkenaan memotong dari bahagian kiri lalu hilang kawalan ketika cuba masuk semula ke lorong kanan selepas selesai memotong,” katanya hari ini.

Tambah beliau, Toyota Vios dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun yang gagal mengelak telah melanggar Honda City yang terbabas berkenaan lalu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

Katanya, akibat pelanggaran itu Honda City berkenaan berpusing lalu termasuk ke lorong kedua sebelum dirempuh oleh kereta dan sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak.



“Mangsa yang maut serta semua yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat dan rawatan lanjut,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button