Bukan sekadar sahabat baik, Kak Mala sudah dianggap saudara – Nazuha

Seberang Perai: Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Itu gambaran persahabatan erat dua wanita ini biarpun berbeza agama dan bangsa, namun hidup saling bermuafakat serta tidak berpecah-belah.

Tanpa mengira perbezaan itu hubungan Nazuha M Ariffin, 32, dan K Neermala, 46, bukan hanya sekadar sahabat baik tetapi sudah dianggap seperti saudara kandung.

Malah lebih mengujakan, kemesraan mereka turut ‘diwarisi’ oleh dua anak Nazuha yang menyayangi Neermala dan keluarganya yang dianggap seperti keluarga sendiri.



Berkongsi cerita, Neermala berkata, dia sudah mengenali Nazuha sejak lebih 10 tahun lalu dan mereka berkerja di syarikat sama di Pulau Pinang.

Menurutnya, secara kebetulan mereka mendirikan rumah tangga pada bulan sama iaitu Januari 2013 tetapi dia kehilangan suami selepas hampir setahun berkahwin dan tidak dikurniakan anak.

“Saya memang suka budak tidak kira bangsa, dan anak Nazuha pula mahu dengan saya. Itu yang buat saya sangat gembira dapat bermain dan menjaganya apabila ada masa terluang.

“Saya menumpang kasih anak Nazuha dan anak buah kerana tiada rezeki punya anak sendiri. Itu pun sudah cukup buat saya, malah bila lihat anak Nazuha tidak takut dengan saya kerana kulit bersopak dan layan seperti keluarga itu cukup menggembirakan saya,” katanya ketika dihubungi.



Juruwang tempat parkir kenderaan itu berkata, dia tetap menjaga batas agama jika membantu menjaga anak rakannya itu sementara Nazuha yang berkerja sebagai kerani mempunyai hal dan tiada pengasuh.

Katanya, setiap agama mengajar penganutnya saling menghormati dan berbuat baik dengan semua manusia tanpa mengira perbezaan kaum untuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera.

“Keluarga saya juga berkahwin campur ada yang berkahwin dengan orang Melayu dan Cina. Jadi saya sudah biasa, malah kita sebagai rakyat berbilang kaum perlu sentiasa menghormati.

“Walaupun membawa anak Nazuha pulang ke rumah tetapi saya tetap menjaga batas agama dan jika memasak makanan kegemaran Nazuha pun saya akan membeli barang halal, kami memang tidak masak makanan tak halal di rumah,” katanya yang tinggal di Seberang Perai, Pulau Pinang.



Neermala berkata, ahli keluarga mereka juga saling mengenali dan mereka saling menziarah setiap kali musim perayaan.

Sementara itu, Nazuha mengakui tiga anaknya terutama Muhamad Walif Mikail Muhamad Shafiq, 3, sangat menyayangi Neermala kerana wanita itu seorang yang baik hati dan peramah.

Menurutnya, anak keduanya itu sudah terbiasa dengan Neermala sejak dalam kandungan, malah wanita itu juga sering ‘melayan’ selera mengidam ketika di mengandungkan Walif Mikail.

“Ketika mengidam apa saja saya nak makan Kak Mala akan bantu masak dan carikan. Saya paling suka dia masak kari ikan dan sambal ketam. Kak Mala memang sangat baik dan selalu membantu walaupun bukan orang senang sangat.



“Inilah Keluarga Malaysia saya dan saya memang ajar anak supaya menghormati semua walaupun kita berbeza bangsa. Malah, Kak Mala juga selalu ajar anak supaya sentiasa menjaga kebersihan,” katanya yang tinggal di Seberang Jaya.

Nazuha yang mempunyai dua lagi anak berusia lapan tahun dan enam bulan mengakui Neermala selalu berterima kasih kerana membenarkan tiga anaknya bermain dan bermesra dengannya.

“Kak Mala cakap terima kasih kerana bagi dia menumpang kasih pada anak saya. Dia memang layan anak saya macam anak sendiri. Saya pun berterima kasih juga dengannya,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button